Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Beberapa tindakan sudah dirangka dan dilaksanakan bagi menyelesaikan konflik antara manusia dan hidupan liar, termasuk Pelan Induk Ekologi Central Forest Spine.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia termasuk, meningkatkan hubungan antara kompleks hutan yang menjadi kawasan rayau hidupan liar terutama di utara dan tengah Semenanjung, termasuk di kawasan Central Forest Spine.

Ini kerana, katanya, pemisahan kompleks hutan antara negeri susulan pembangunan dikenal pasti sebagai antara punca peningkatan konflik berkenaan.

Mengetengahkan kawasan hutan di Johor-Pahang, katanya, litupannya sudah terputus, selain mengakui masalah sama turut dihadapi beberapa negeri di utara atau tengah Semenanjung.

“Apabila adanya lebuh raya, landasan kereta api, pembangunan, ladang dan sebagainya, menyebabkan kompleks hutan terpisah, sekali gus meningkatkan konflik sebab banyak binatang seperti gajah dan harimau memerlukan ruang rayau yang luas untuk hidup.

“Apabila perkara ini (ruang rayau luas) tak berlaku dan wujud pemisahan (kompleks hutan) maka akan ada konflik antara manusia dan hidupan liar,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai rangkaian ekologi bersambung antara negeri sebagai usaha mengatasi konflik manusia-hidupan liar.

Mengenai pembangunan di kawasan hutan, Nik Nazmi berkata, beberapa inisiatif sudah dirangka, termasuk mewujudkan laluan haiwan liar, sama ada di bawah lebuh raya atau secara ‘viaduct’ (jejambat).

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat risiko berlaku konflik membabitkan haiwan liar kerana ada pemburu cuba memburu di laluan terbabit.

“Namun, kita sudah tingkatkan (khidmat) ranger komuniti untuk cuba atasi (masalah pemburu haram). Selain itu, landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibina tinggi, bertujuan mengurangkan konflik hidupan liar.

“Di Sabah, ada beberapa projek antaranya syarikat sawit menyediakan koridor yang menanam makanan digemari gajah Pygmy dan pokok hutan untuk dilalui gajah. Ini tanah milik ladang sawit, tetapi mereka berbuat demikian untuk meminimumkan konflik,” katanya.

Nik Nazmi ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berkata, PERHILITAN Semenanjung menjalankan latihan kepakaran pengendalian gajah dengan kakitangannya menggunakan kepakaran dari India sejak 1970-an.

Beliau berkata, PERHILITAN juga mengadakan siri lawatan dan pertukaran kemahiran dengan kerjasama agensi berkaitan di Thailand dan Indonesia.

Sejak itu, katanya, kepakaran pengendalian gajah diaplikasikan kakitangan PERHILITAN dalam pengurusan gajah, terutama di Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah, Pahang.

“Ini adalah bukti konservasi di negara ini yang mendapat perhatian dunia. PERHILITAN juga sudah membangunkan dokumen Konservasi Hidupan Liar (Gajah) dan Translokasi Gajah Tahap III yang diluluskan, pada 2014,” katanya.

Menjawab soalan asal, beliau berkata, PERHILITAN menerima 337 aduan konflik hidupan liar di Gua Musang, Kelantan, tahun lalu, masing-masing 218 kes berkaitan gajah dan 47 lagi mengenai harimau. 

Katanya, PERHILITAN juga sudah mengambil beberapa tindakan menangani konflik manusia-hidupan liar, membabitkan gajah dan harimau di situ, antaranya melaksanakan 306 kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik di habitat hidupan liar.

“Kita juga memasang 15 perangkap apabila mendapat aduan konflik harimau dan 10 kali operasi tangkap-pindah membabitkan gajah, selain membina dua unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal di Kampung Orang Asli Pos Pasik dan Kampung Aring,” katanya.-BH Online