KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan melawat setiap negeri di seluruh negara mulai minggu depan bagi menghadiri majlis berbuka puasa MADANI dan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama kerajaan serta agensi.
Usaha itu antaranya adalah bagi memastikan lebih banyak negeri berupaya mencapai sifar miskin tegar selepas Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata melalui perbincangan bersama pimpinan kerajaan negeri dan agensi, Anwar akan menekankan bahawa agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertingginya.
“Malah sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau menggerakkan semua setiausaha politik ke negeri bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar.
“Usaha ini merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan, dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.
Pada masa sama, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember tahun lalu, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar.
“Insya-Allah kejayaan ini akan diperluas ke negeri lain,” katanya.
Usaha Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan tegar menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan, dengan tiga negeri dan satu Wilayah Persekutuan berjaya mencatatkan sifar miskin tegar pada tahun lepas.
Kementerian Ekonomi memaklumkan, berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih sehingga 31 Disember lalu, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis mencatatkan sifar miskin tegar.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,793 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar direkodkan di seluruh negara.-BH Online