Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membayar sebanyak AS$250 juta (RM1.12 bilion) kepada ARM Holdings Plc, syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), untuk mendapatkan akses kepada harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip dalam tempoh 10 tahun untuk syarikat tempatan.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata kerajaan akan membeli tujuh Compute Sub System (CSS) IP, 25 unit Arm Flexible Access (AFA), dan beberapa produk lain yang masih belum diumumkan oleh ARM.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan fokus dalam dua atau tiga tahun akan datang supaya dalam tempoh lima tahun, kita (mungkin) dapat menghasilkan cip yang direka bentuk dan dibuat di Malaysia. 

“Sama ada ia digunakan di dalam negara atau di peringkat antarabangsa, saya anggap itu sebagai satu bonus,” katanya semasa sesi taklimat bersama pengarang, baru-baru ini.

CSS ialah koleksi IP pengkomputeran dan pelaksanaan fizikal daripada ARM. CSS membantu rakan kongsi membangunkan penyelesaian pengguna dengan lebih cekap serta mengurangkan masa untuk dipasarkan.

Sementara itu, AFA ialah program yang memberikan akses kepada IP ARM, alat, dan latihan. Ia merangkumi hak reka bentuk, sokongan, dan latihan bagi membantu mengurangkan masa pembangunan.

Rafizi berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengumumkan sekurang-kurangnya satu atau dua penerima CSS yang pertama dalam tempoh dua bulan akan datang.

“Ini adalah kaedah insentif baharu yang akan ditawarkan kepada syarikat tempatan yang mana mereka tidak perlu membayar yuran pelesenan kepada ARM, sebaliknya akan ditanggung oleh kerajaan.

“Ia bukan lagi cara lama yang mana kerajaan memberi insentif sama ada melalui subsidi modal atau pengecualian cukai.

“Ini akan menjadikan mereka sebahagian daripada ekosistem semikondutor yang besar dan mempunyai akses dan sokongan daripada ARM serta kerajaan di peringkat nasional,” katanya.

Beliau menambah, jika ada syarikat yang berjaya, anggaran pulangan yang mampu diraih untuk satu rantaian bekalan adalah kira-kira AS$30 bilion yang mana sudah berlaku di Korea Selatan.

“Kita berharap perjanjian dengan ARM ini akan membolehkan pengeluar tempatan untuk berkembang, mewujudkan 10 syarikat cip tempatan dengan hasil tahunan antara AS$1.5 hingga AS$2 bilion setiap satu,” katanya.

Menurut laporan berita Bloomberg, Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 10 syarikat cip dengan jumlah pendapatan tahunan sebanyak AS$20 bilion.

Laporan itu menambah, Malaysia telah menjadi hab utama untuk ujian dan pembungkusan cip tetapi negara masih belum membuat kemajuan yang bermakna dalam reka bentuk cip.

Setakat ini, Arm Holdings telah mengeluarkan 6,800 paten manakala 2,700 permohonan masih menunggu kelulusan dan lebih 300 bilion cip yang direka oleh ARM telah dijual di seluruh dunia.-BH Online