KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, semua pengguna elektrik akan kekal membayar pada kadar tarif yang sama seperti dinikmati sebelum ini.
Penegasan Timbalan Perdana Menteri itu dibuat sebagai maklum balas kepada pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air antara lain menegaskan pengumuman TNB itu tidak menggambarkan keseluruhan keputusan kerajaan.
Ini kerana, katanya, pengumuman terbabit dibuat ketika jadual tarif baharu belum dimuktamadkan, biarpun kadar purata asas sudah diputuskan kerajaan.
“(Pengekalan tarif elektrik) selari persetujuan kerajaan mengenai penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi TNB di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), pada 13 Disember lalu.
“Persetujuan itu bagi tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2027.
“Kementerian pada 20 Disember lalu, juga menyiarkan kenyataan media bertajuk ‘Pengekalan Tarif Elektrik di Semenanjung: Kerajaan Menyediakan Subsidi Elektrik Sebanyak RM5.96 Bilion Bagi Tempoh 1 Januari Hingga 30 Jun 2025’,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai tindakan akan diambil terhadap ahli lembaga TNB selepas membuat pengumuman palsu mengenai kenaikan tarif elektrik oleh TNB yang melanggar obligasi Penzahiran Maklumat Material di bawah Peraturan Suruhanjaya Sekuriti.
Sementara itu, Fadilah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, penetapan tarif asas elektrik secara asasnya dibuat berdasarkan mekanisme IBR, sejak 2014.
Melalui IBR, katanya, purata tarif asas di Semenanjung untuk TNB akan dikaji setiap tiga tahun berserta penetapan parameter asas bagi perniagaan TNB yang diselia melalui Suruhanjaya Tenaga (ST).-BH Online