Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM22.28 juta diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur di kawasan jelapang padi di Sabah, tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM216.98 juta disediakan kerajaan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi pembangunan kawasan padi di negeri itu membabitkan sembilan perkara.

Antaranya, pembinaan Saluran Sekunder (Jawi Jawi dan Tempasuk Utara) dan Kerja-Kerja Berkaitan Lain – Pakej 1c (1), IADA Kota Belud, Sabah, berjumlah RM33 juta.

Selain itu, Pakej 1c(4) – 1c(4c) – Pembekalan, Pemasangan Pam dan Kerja-Kerja Berkaitan Di Sungai Jepun, IADA Kota Belud (RM15.2 juta), serta Pakej 1c(5) – Peningkatan dan Pengubahsuaian Kawasan Marabau, IADA Kota Belud (RM37.5 juta).

“Ia turut membabitkan Pakej 1d(1) – Peningkatan dan Kerja-Kerja Penambahbaikan Skim Pengairan Tempasuk Selatan, IADA Kota Belud (RM29.9 juta), serta Pakej 1e(1) dan 1e(2) – Kerja-Kerja Pembaikan dan Penambahbaikan Struktur Utama Piasau Dundau,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai berapa peruntukan akan diberi bagi membangunkan jelapang padi di Sabah, kerana kekurangan infrastruktur pengairan menjadi punca utama hasil padi rendah di negeri itu.

Mohamad berkata, dengan lengkapnya projek pembangunan itu, ia mampu menyediakan pengairan optimum kepada pesawah di Sabah meliputi ketersediaan air mencukupi, memastikan kelembapan tanah dan merangsang pertumbuhan pokok, selain meningkatkan keefisienan penyerapan nutrisi.

“Bagi peruntukan dalam tempoh RMK13 pula, kementerian sedang meneliti keutamaan, keperluan serta ketersediaan pelaksanaan projek sebelum membuat permohonan bagi projek pembangunan padi di Sabah.

“Kelulusan ke atas permohonan projek untuk pelaksanaan pada 2026 hanya akan dimaklumkan oleh Kementerian Ekonomi selepas pembentangan Belanjawan 2026,” katanya.-BH Online