KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menyokong cadangan meminda akta sedia ada berkaitan perjawatan membabitkan petugas kesihatan, terutama golongan pakar dan doktor.
Ini kerana, peranan berkenaan masih di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF), seperti dijelaskan dalam akta serta peraturan kewangan yang berkuat kuasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad, berkata kesediaan itu dibuat berpandukan kekangan dihadapi Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang akan berfungsi di luar bidang kuasa penubuhannya.
Ini kerana, katanya, fungsi suruhanjaya itu seperti dijelaskan dalam Perlembagaan tidak memberikan peranan untuk mewujudkan jawatan baharu, merangka sistem saraan termasuk menetapkan kadar emolumen atau elaun kakitangan awam.
“Sebab ini rakan KKM dibuat sebagai pendekatan bersifat memperbaiki amalan dalam sayap swasta, iaitu Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) yang akan dapat membuat dan meningkatkan perjawatan serta kadar upah kepada petugas kesihatan.
“(Pendekatan ini memberikan) peluang (kepada) saya mengekalkan pakar dan doktor daripada berpindah ke sektor swasta mahupun luar negara.
“Jika saya ada sedikit sebanyak kuasa memperbaiki hal mengenai fasiliti kesihatan awam, dengan hasil yang kita ada akan memperbaiki hal berkaitan, sekali gus memberi cabaran kepada pihak swasta melalui tanda aras persaingan dan harga.
“Ini juga membolehkan mereka (sektor swasta) tidak mengenakan caj tinggi kerana kita mampu mengemukakan fasiliti (kesihatan) mampu milik kepada pelanggan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.
Dzulkefly berkata, Ahli Parlimen kedua-dua blok wajar bekerjasama untuk memberi tekanan bagi tujuan itu kepada KKM dalam usaha membangunkan suruhanjaya yang lebih sesuai dengan keperluan semasa dan kalis cabaran mendatang.
“Inilah (Dewan Rakyat) tempat menggubal dan meminda akta supaya selari keperluan semasa. Kalau ada kekangan sedemikian, saya yakin bermula daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan boleh mengemukakan dan memajukan hal ini.
“Saya berpandangan ini adalah proses demokrasi melalui cabang legislatif yang harus digunakan, sekiranya saya terkekang dalam hal ini (perjawatan dan sistem saraan petugas kesihatan),” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan pihaknya menyasarkan 3,200 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke perjawatan tetap tahun ini, sebagai tambahan kepada lantikan tetap 13,349 pegawai perubatan kontrak yang dilakukan antara 2020 hingga 2024.
Selain itu, beliau berkata KKM melatih 4,776 pakar perubatan bagi tempoh sama, selain 900 pakar lagi dijangka ditempatkan di fasiliti kesihatan yang memerlukan.
“Seramai 6,211 pegawai perubatan juga sedang mengikuti latihan kepakaran KKM meliputi 5,519 pegawai dalam program Sarjana Perubatan, manakala program Parallel Pathway membabitkan 692 orang hingga 31 Januari lalu.
“KKM secara berterusan melaksanakan penempatan pegawai perubatan dan pakar perubatan ke kawasan memerlukan, terutama di Sabah dan Sarawak.
“Ini sekali gus dapat menangani isu ketidakseimbangan agihan, terutama di luar bandar Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mengulas isu perpindahan petugas kesihatan, beliau memaklumkan 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM direkod meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta antara 2020 hingga tahun lalu.
Ia membabitkan 1,856 pegawai perubatan tetap, diikuti 3,846 pegawai perubatan kontrak dan 1,217 pakar perubatan.-BH Online