Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti awam dibuat mengikut prosedur dan ketetapan undang-undang, tanpa ada sebarang campur tangan politik.

Menegaskan perkara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pelantikan itu dibuat merujuk kepada Seksyen 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Pindaan 2019), yang memperuntukkan Jawatankuasa Penasihat bagi pemilihan berkenaan, yang seterusnya membabitkan pelbagai peringkat saringan.

“Ia perlu melalui pelbagai saringan… maksudnya menteri tidak boleh sewenang-wenangnya melihat seseorang itu – ada yang kata ini kartel politiklah atau permainan politik – tidak boleh kerana ia perlu mengikut tatacaranya.

“Saya tidak melantik Naib Canselor secara semberono atau bukan disebabkan faktor politik, seperti mana yang disebarkan di WhatsApp layang dan sebagainya, seperti mana yang kita dengar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Memperincikan proses lantikan itu, Zambry berkata, iklan akan dikeluarkan apabila ada kekosongan jawatan, sebelum proses pemprofilan dilaksanakan pihak pengurusan universiti dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Calon yang layak akan disenarai pendek untuk ditemubual, yang akan dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan wakil Senat universiti berkenaan.

“Ia dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan. Mereka akan turun ke universiti dan prosesnya melihat secara keseluruhan dan mendengar pandangan, sebelum akan dibincang di peringkat jawatankuasa, berdasarkan calon dan merit yang diberikan kepada setiap calon.

“Pelantikan Naib Canselor ini bersifat ‘judicious’ (bijaksana). Ia dirujuk berdasarkan saranan dan syor LPU dan Jawatankuasa Pemilihan kepada menteri.

“Jadi, daripada senarai yang layak, menteri akan memilih calon sebagai Naib Canselor, bukan berdasarkan kuasa sewenang-wenangnya, tapi berdasarkan Bahagian Satu, Seksyen 9(1) AUKU,” katanya.-BH Online