IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin meninggal dunia selepas dikatakan rebah ketika menghadiri perlawanan bola sepak di Pulau Pinang.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu hantaran di Facebooknya.
“Mendapat khabar duka akan pemergian sahabat saya, YB Tuan Haji Ishsam Shahruddin, ADUN Ayer Kuning lewat petang tadi.
“Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh,” katanya.
Terdahulu, ADUN Manjoi yang juga Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Hafez Sabri menerusi hantaran di Facebook (FB), sebentar tadi.
“Saya baru mendapat berita sedih YB Hj Ishsam Shahruddin ADUN Ayer Kuning, Perak baru saja kembali kerahmatullah sebentar tadi.
“Secara peribadi hubungan saya sangat baik dengan Almarhum. Selalu bertanya khabar dan bergurau bila bertemu. Sebelum ini ada bertemu beliau kami mesyuarat sekali berkaitan isu rakyat.
“Semoga Allah tempatkan Almarhum bersama para syuhada’ siddiqin dan solihin. Takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Almarhum dan sahabat handai,” tulis Mohd Hafiz pada hantaran itu.
Pemergian Ishsam turut dikongsikan oleh Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim menetusi hantaran FB.
“Al-Fatihah buat YB Isham Shahruddin ADUN Ayer Kuning, Tapah, Perak yang meninggal dunia sebentar tadi. Salam takziah buat ahli keluarga,” tulis hantaran itu.
Difahamkan, Isham rebah sewaktu menghadiri Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru antara Pulau Pinang, Perlis, Kedah, dan Perak yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, di Georgetown.
Beliau mewakili Barisan Nasional (BN) sejak November 2022 termasuk sebagai Pengerusi BN Parlimen Tapah selain pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Penolong Pengurus skuad senior Perak FA.-BH Online