Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Johor Bahru: Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) muncul sebagai ‘game-changer’ (pencetus perubahan) dalam landskap pelaburan Johor, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, melalui pusat itu, proses kelulusan projek mampu dipercepat dalam tempoh hanya 14 bulan sekali gus menjadikannya lebih cekap, pantas dan efektif berbanding mengambil masa sehingga 24 bulan atau pun lebih, yang berlaku sebelum ini.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas perkenan berangkat ke majlis perasmian pejabat IMFC-J (yang berlangsung) di Forest City, Iskandar Puteri dekat sini hari ini.

“Perasmian IMFC-J ini bukan sahaja sebagai salah satu langkah penting dalam menjayakan inisiatif JS-SEZ. Ia jelas mencerminkan keseriusan Johor yang bukan sekadar ingin menempatkan diri sebagai pemain utama dalam ekonomi serantau tetapi hakikatnya Johor sedang mengorak langkah untuk mendominasi kuasa pelaburan global,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz berkata, seiring dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), IMFC-J akan merevolusikan landskap pelaburan negeri, mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat kelulusan projek dan terus memacu limpahan pelaburan berkualiti tinggi, yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Johor.

“Syukur Alhamdulillah, Johor terus maju dalam merealisasikan agenda JS-SEZ sejak perjanjian ini ditandatangani pada 7 Jan lalu. Satu demi satu langkah strategik kini berjaya dilaksanakan bagi memperkukuh asas ke arah kejayaan JS-SEZ.

“Insya-Allah, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan akan terus memacu Johor ke hadapan dengan penuh iltizam, memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi pelaburan utama yang berdaya saing,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar strategi yang progresif dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dapat memperkukuh ekonomi, mencipta lebih banyak peluang serta mengukuhkan kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi serantau.-BH Online