Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelancaran syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI) dari China, DeepSeek, dilihat menawarkan peluang baharu kepada pelabur kewangan yang berminat untuk menyokong pertumbuhan perniagaan berasaskan AI di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, turut menyifatkan DeepSeek sebagai mampu mengubah landskap teknologi AI di negara ini.

“Satu pencapaian penting dalam perjalanan ini ialah pelancaran DeepSeek, sebuah model AI kos efektif yang bakal mengubah landskap teknologi Malaysia.

“Dengan mengurangkan halangan untuk penerapan AI, ia membolehkan perusahaan kecil dan (PKS) mengintegrasikan penyelesaian teknologi itu ke dalam operasi mereka.

“Ia sekali gus mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing global. Selain aspek teknologi, DeepSeek juga membuka peluang baharu bagi pelabur kewangan menyokong gelombang baharu perniagaan berasaskan AI di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum AI Pan Pasifik Malaysia – Pelaburan dan AI dalam Dunia Yang Berubah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Malaysia kini berada dalam era di mana teknologi bukan lagi sekadar alat yang menyokong kemajuan, tetapi menjadi pemacu utama perubahan.

“Teknologi AI khususnya sudah menjadi asas inovasi yang mengubah industri, mentransformasikan ekonomi serta mentakrifkan semula masyarakat.

“Malaysia komited berada di barisan hadapan dalam revolusi ini. Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya berbangga untuk berkongsi bahawa AI diiktiraf sebagai keutamaan strategik negara,” katanya.-BH Online