Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk memanfaatkan kekuatan yang ada termasuk dalam bidang pertahanan, selain terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Indonesia mempunyai banyak pengalaman dan kekuatan dalam bidang pertahanan.

Justeru menurutnya, perlu ada kesediaan dari pihak Malaysia untuk melihat apa yang boleh diperoleh dari Indonesia, selain dari negara lain.

Pada masa sama katanya, kedua-dua negara komited untuk memastikan kerjasama antara syarikat gergasi minyak kedua-dua negara, PETRONAS dan PERTAMINA untuk meneroka aliran baharu dalam bidang perniagaan.

“Jadi, hal itu hanya akan berlaku jika ada kesefahaman, keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pimpinan serta pasukan kedua-dua kami. 

“Saya ucap terima kasih dan beri arahan jelas kepada rakan-rakan menteri serta jabatan terkait, selain sektor swasta untuk pastikan apa yang kita sepakati dimeterai secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di sini, hari ini.

Probowo berada di Malaysia untuk lawatan negara selama sehari, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Anwar dan Probowo menyaksikan pertukaran dua surat niat (LOI) antara Axiata Group Berhad dan PT Sinar Mas Tunggal, iaitu `LOI on Ecosystem Growth’ dan ‘LOI on XL Smart Merger Realization’.

Anwar berkata kerjasama Malaysia dan Indonesia juga akan dipertingkat dalam bidang ekonomi dan perdagangan, selain memperluas bidang pendidikan, penyelidikan, teknologi makanan, industri hiliran dan tenaga.

Sementara itu, Probowo berkata pertemuan beliau dengan Anwar membincangkan isu kerjasama yang sangat menyeluruh dan yakin kedua-dua negara dapat menyelesaikan pelbagai masalah dua hala termasuk persempadanan dan tenaga kerja.

“Intinya adalah keputusan politik bahawa Malaysia dan Indonesia bekerjasama erat. Hal lain, termasuk teknikal, kita boleh selesaikan.

“Apa yang penting, ada kemahuan politik dan strategik, dan kita yakin dapat selesaikan masalah sempadan dan dua hala. Masalah tenaga kerja pun, kita sepakat tertibkan,” katanya.

Selain itu, Probowo berkata, kedua-dua negara juga akan bekerjasama dalam meningkatkan lagi industri kelapa sawit, yang kini menjadi komoditi penting dan mendapat permintaan banyak negara.

Dari segi geopolitik, katanya, Malaysia dan Indonesia perlu terus berunding dalam menyuarakan pandangan ketika situasi dunia yang tidak menentu, selain sinergi bersama rakan lain dalam ASEAN.

“Hanya dengan persatuan antara negara ASEAN, kerjasama baik antara kita, suara kita lebih didengari oleh kekuatan yang jauh lebih besar daripada kita.

“Mengenai masalah Palestin, kita tegas bahawa hanya ada satu penyelesaian, iaitu penyelesaian dua negara.

“Kita terima baik gencatan senjata sekarang dan harap ia akan bertahan,” katanya.-BH Online