PUTRAJAYA: Kenaikan gaji tahunan disekat, tiada kenaikan pangkat atau dipindahkan ke jabatan lain antara implikasi yang bakal dikenakan kepada ketua jabatan dan pemimpin perkhidmatan awam termasuk ketua setiausaha (KSU) kementerian jika gagal dalam sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) mulai tahun ini.
DEEP yang menjadi kaedah baharu bagi menilai prestasi penjawat awam khususnya ketua jabatan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari lalu, berasaskan konsep ‘demerit dan remerit’ dan berteraskan tiga dimensi prestasi iaitu Generik (75 peratus), Fungsi (15 peratus) serta Tinjauan (10 peratus).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata DEEP dinilai secara bulanan berbanding kaedah pengukuran konvensional yang hanya mengukur prestasi dalam tempoh setahun.
“(Sebagai contoh) projek pembangunan lambat siap, sakit dan sebagainya yang menjadi hambatan kepada negara untuk rakyat menikmati projek yang sudah diluluskan sebelum ni dan apabila ada DEEP, perkara itu akan dinilai.
“Contoh paling mudah, di awal tahun kita bagi dia markah 100. Sekiranya ada projek yang di bawah seliaan kementerian yang sakit, akan ada pembentangan dan dari saat itu mungkin (markah ketua jabatan) tinggal 98.
“Kemudian bulan seterusnya, turun lagi prestasi. Mungkin potong lagi lima markah, dah tinggal 92 dan sebagainya,” katanya pada sesi temubual bersama Berita Harian dan Bernama di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan bagaimanapun berkata, DEEP bukan semata-mata untuk menghukum penjawat awam, sebaliknya ia lebih bersifat progresif dan adil.
Katanya, walaupun markah demerit dikenakan kerana kegagalan mencapai sasaran ditetapkan, DEEP turut memperkenalkan markah remerit bagi setiap penambahbaikan dan kepatuhan tatakelola yang dilaksanakan sebagai langkah mitigasi kepada kegagalan terbabit.
“Andai kata pada bulan berikutnya prestasi projek dikendalikannya meningkat, kita akan bagi markah remerit sebab dia sudah bekerja keras, turun padang dan melakukan langkah intervensi.
“Tapi jika dia masih gagal, mungkin tidak ada kenaikan gaji tahunannya. Tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau kalau kita tengok, setahun pun dia tak boleh laksanakan tanggungjawab, tiba masa untuk dia pergi (dipindahkan). Kita cari individu lain yang lebih baik,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata, antara keunikan DEEP, penilaian prestasi untuk ketua jabatan turut diambil kira dalam kalangan warga kerja termasuk kumpulan pelaksana.
“Kalau dah pengawal (ketua jabatan) tak pernah turun jumpa anak buah, macam mana anak buah nak buat penilaian? Sebab selain daripada mengendalikan kementerian, elemen tugas kemanusiaan kena ada.
“Sebab itu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam amanatnya baru-baru ini minta ketua jabatan ini berjumpa dengan semua warga (penjawat awam) pelbagai lapisan,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata pemimpin tertinggi penjawat awam termasuk beliau sendiri dinilai menerusi DEEP.
“Saya sendiri sudah berjumpa dengan kumpulan pemandu. Jumpa pengawal keselamatan sebab kita nak biar mereka dengar daripada pucuk pimpinan apa yang dihasratkan kerajaan,” katanya.-BH Online