Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang keputusan mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dibuat sehingga kini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tidak dirujuk atau dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkaitan pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari.

“Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, seperti dimaklumkan sebelum ini, PETRA bersama-sama Suruhanjaya Tenaga (ST) masih dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka untuk dilaksanakan bermula Julai 2025. 

Fadillah berkata semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapat keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.-BH Online