Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan akan melakukan rombakan senarai EXCO kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata rombakan itu hanya membabitkan pertukaran portfolio tanpa ada individu digugurkan.

“Saya setuju, memang betul akan rombak EXCO… tapi saya tidak rombak orang (sebaliknya) saya rombak portfolio. Tiada orang (lantikan) baharu, (senarai) EXCO akan kekal, cuma ‘title’ (portfolio) sahaja yang bertukar.

“Saya nak beritahu, prestasi semua EXCO Melaka berada pada tahap cukup baik dan saya sangat berpuas hati dengan semua penjawat jawatan itu yang menyokong kepemimpinan saya,” katanya ketika sidang media di Seri Negeri, di sini hari ini.

Ditanya mengenai alasan rombakan, beliau memaklumkan tidak mahu membebankan seseorang EXCO dengan portfolio yang banyak.

“Ada dalam kalangan mereka buat kerja berat, jadi saya hendak selaraskan dalam portfolio itu dengan menggabungkan tugas bersama EXCO yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Rauf meminta masyarakat tidak mendengar berita tidak sahih mengenai rombakan berkenaan.

“Kapal ini tengah berlayar dengan baik, jangan cuba nak bocorkannya.

“Saya memandang bahawa pentadbiran ini menuju ke arah usaha menyentuh hati rakyat. Justeru, jangan percaya khabar angin pihak tertentu termasuk media yang membuat pelbagai andaian mengenai perkara itu,” katanya.-BH Online