KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa diwujudkan satu usaha global bersepadu bagi menghayati nilai ihsan, keadilan dan kemanusiaan untuk membanteras peningkatan sikap tidak bertoleransi, perkauman serta Islamofobia.
Bercakap pada mesyuarat Strategic Vision Group Russia-Islamic World, Perdana Menteri berkata, isu itu menjadi cabaran berterusan yang dihadapi dunia Islam dan umat manusia secara umumnya, termasuk tragedi yang sedang melanda di Gaza serta kebangkitan fasisme dan perkauman di pelbagai wilayah.
Beliau berkata, prinsip As-Samud, Rahmah dan Ihsan atau nilai toleransi, belas kasihan serta kemanusiaan mesti membimbing dunia Islam dalam menangani cabaran global.
“Kita fikirkan bahawa dengan pembangunan, kemajuan dan pengetahuan, akan wujud lebih banyak kebijaksanaan serta toleransi, namun hakikatnya ini tidak berlaku.
“Ini adalah tempoh tragedi besar sedang menimpa umat manusia pada umumnya dan kebanyakan membabitkan umat Islam, khususnya dari Gaza, dari Eropah di masa lampau, peningkatan kebangkitan fasisme, perkauman, sikap tidak bertoleransi, tindakan yang tidak berperikemanusiaan, kekejaman yang dilakukan kepada manusia, bukan hanya di Palestin dan Gaza khususnya, tetapi juga di banyak negara,” katanya.
Anwar berkata, platform seperti mesyuarat Russia-Islamic World ini harus digunakan untuk mempromosi nilai ini kepada masyarakat antarabangsa kerana ia bukan saja relevan untuk dunia Islam, tetapi juga kritikal untuk masyarakat global.
“Kita mesti bekerjasama untuk menentang kebencian dan sikap tidak bertoleransi, memupuk dunia dan manusia berkembang maju melalui persefahaman serta saling menghormati,” katanya.
Mesyuarat yang berlangsung di sini hari ini dan esok dihadiri lebih 200 wakil dari 32 negara, berfungsi sebagai platform untuk meneroka peluang kerjasama global sambil menangani isu mendesak yang dihadapi masyarakat Islam dan sejagat.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Wawasan Strategik ‘Rusia-Dunia Islam’ dan Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Russia, Andrey Rudenko, Ketua Pengarah Hal Ehwal Politik di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohamed Salah Tekaya dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof Emeritus Dr Osman Bakar. – BERNAMA