PUTRAJAYA, 7 Disember – Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) akan memastikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bebas daripada sebarang unsur buli dalam kalangan pesertanya, menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau menegaskan bahawa risiko insiden buli adalah rendah kerana peserta PLKN hanya ditempatkan dalam tempoh yang singkat.
Katanya, ini berbeza dengan situasi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang perlu menjalani latihan jangka panjang.
“Macam isu buli tu, mereka duduk bersama selama empat tahun kerana mereka belajar di universiti. Pada masa yang sama, mereka adalah kadet, jadi mereka semua ditempatkan di lokasi yang sama dan sering berjumpa.
“Sistem di situ, dengan adanya senior dan junior, boleh menyumbang kepada situasi seperti itu.
“Manakala bagi PLKN yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan di bawah Wataniah, peserta ditempatkan di kem-kem Wataniah untuk tempoh pendek dan tidak ada sistem seperti itu.
“Saya percaya mereka tidak bersama (tempoh lama), tak sama seperti kadet yang belajar dalam universiti, jadi kemungkinan soal buli dan dera itu mungkin tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa peserta PLKN direkrut daripada pelbagai latar belakang dan tidak tertakluk kepada status atau kedudukan tertentu yang boleh menjadi punca buli atau penderaan.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Latihan Nasional (PUSPAHANAS).
PLKN 3.0, yang akan bermula tahun depan, bertujuan memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan belia melalui pendekatan latihan dan pendidikan yang tersusun.-Berita RTM