KUALA LUMPUR: Malaysia sedang merangka kerjasama dengan beberapa negara dan pihak berkepentingan dalam aspek pemulihan di Gaza, Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran, Malaysia tidak akan berputus asa untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
“Dalam konteks bantuan pasca konflik, Malaysia kini sedang merangka kerjasama dengan negara-negara sepemikiran dan pihak berkepentingan lain terutama dalam bidang perubatan, pendidikan serta pemulihan dan pembangunan semula infrastruktur asas di Gaza.
“Pelaksanaan projek pembangunan semula ini akan dijalankan secara kolektif melalui usaha sama kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, organisasi antarabangsa serta rakan penaja antarabangsa selepas keadaan di Palestin stabil,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN- Sik) mengenai perancangan kerajaan dalam membantu membina kembali keperluan asas penduduk Gaza termasuk rumah, sekolah dan hospital yang dimusnahkan rejim Zionis Israel.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia memberi tumpuan utama bagi memastikan pemulihan kesihatan, memperkukuhkan pendidikan dan membina semula perkhidmatan asas di Gaza.
“Dengan harapan memberi rakyat Palestin peluang untuk bangkit semula, dengan kekuatan dan daya tahan jangka panjang.
“Pelan pembangunan semula Gaza ini bukan hanya bertujuan membina kembali infrastruktur musnah, tetapi membawa harapan baharu.
“Pelaksanaan pelan ini akan dimulakan sebaik sahaja gencatan senjata kekal tercapai,” katanya.-BH Online