Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RIO DE JANEIRO: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan negara-negara Kumpulan 20 (G20) perlu menilai semula keutamaan global dengan menyalurkan sumber ke arah memerangi kelaparan dan kemiskinan, bukannya meneruskan konflik dan ketidaksamaan.

Berucap dalam sesi pertama Sidang Kemuncak G20 bertemakan “Memerangi Kelaparan dan Kemiskinan,” di sini, Perdana Menteri menekankan keperluan sistem kewangan yang lebih adil, tadbir urus yang lebih baik dan pengagihan semula sumber global untuk menangani isu-isu kemanusiaan yang mendesak.

Menurut Anwar ketidaksamaan ekonomi telah merampas sumber penting daripada negara-negara di Global South, manakala kelemahan tadbir urus serta kurangnya iltizam politik terus memerangkap komuniti dalam kemiskinan dan kelaparan.

“Bagi memutuskan kitaran ganas ini, punca-punca asas yang menyumbang kepada keadaan ini perlu ditangani. Kegagalan tadbir urus dalam kalangan negara adalah salah satu faktor utama.

“Ini sering dikaitkan dengan rasuah yang menjejaskan kantung kewangan negara, sekali gus meminggirkan golongan miskin dan lemah,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa dasar negara kaya yang tersasar menjadi penghalang kepada usaha memerangi kelaparan. 

Sebahagian besar perbelanjaan mereka digunakan untuk membiayai senjata dan konflik, sedangkan jumlah kecil daripada dana itu dapat memberi impak besar dalam melawan kemiskinan.

Sebagai contoh, ketika pandemik COVID-19 pada 2021, peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) sebanyak AS$650 bilion (RM2.91 trilion) sepatutnya membantu semua negara.

Namun, hampir dua pertiga peruntukan itu hanya dinikmati negara maju, meninggalkan baki kecil untuk negara miskin yang lebih memerlukan.

“Alih guna sumber yang salah seperti ini mesti dihentikan jika kita serius mahu menghapuskan kelaparan dan kemiskinan secara efektif,” tegas Anwar.

Anwar turut menyeru reformasi sistem kewangan antarabangsa yang diwarisi daripada institusi Bretton Woods. 

Beliau menyifatkan sistem ini secara asasnya memberi manfaat kepada golongan kaya dan berkuasa, berbanding golongan miskin dan terpinggir.

“Walaupun kapitalisme adalah sihat, kapitalisme tanpa kawalan menjadi punca utama kepada ketidaksamaan kekayaan yang melampau,” katanya sambil menyarankan agar pengalaman China dalam membasmi kemiskinan dijadikan rujukan, dengan mengambil kira keperluan sosioekonomi setiap negara.

Malaysia, katanya, menyertai Perikatan Global ini sebagai bukti komitmen negara untuk mencapai Agenda 2030 dalam memerangi kelaparan dan kemiskinan. 

Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan, yang dilancarkan memiliki keahlian sah lebih daripada 80 negara.

Usaha itu, kata Anwar, turut didorong oleh kerangka Ekonomi MADANI yang berfokus kepada memperkukuhkan tadbir urus, memastikan kelestarian fiskal, meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, memajukan transformasi digital, dan komitmen terhadap tindakan iklim.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia juga bersedia bekerjasama dalam usaha membina kapasiti, meningkatkan daya tahan, mengurangkan kemiskinan, dan memperbaiki tadbir urus di rantau ini.

“Perjuangan menentang kelaparan dan kemiskinan memberi kesan langsung kepada pembangunan manusia. Komitmen bersama terhadap matlamat ini akan membawa kepada dunia di mana kelaparan dan kemiskinan dihapuskan, serta semua manusia dapat berkembang maju,” katanya.

Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro turut menyaksikan pelancaran inisiatif oleh Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, yang menyifatkan kelaparan sebagai “ekspresi biologi ketidakadilan sosial”.

Anwar menyokong pandangan ini dengan menyeru tindakan tegas untuk menamatkan amalan yang mengekalkan ketidaksamaan.

Malaysia adalah antara 17 negara tetamu G20, bersama Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam.-BH Online