Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Proses pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang dikatakan berupaya memberi ‘taring’ dan kuasa dalam aspek penguatkuasaan kepada agensi itu berkaitan kesalahan bahasa kebangsaan sedang disegerakan.

Ia bagi membolehkan Rang Undang-Undang itu dapat dibentangkan di Parlimen secepat mungkin kerana kali terakhir Akta DBP 1959 dipinda pada 1995.

Perkembangan itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebagai mengulas mengenai usaha lain dilakukan pihaknya untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain peruntukan RM50 juta kepada DBP.null

Dana diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 dan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan bertujuan merancakkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan, terutama dalam kalangan anak muda

Mengulas lanjut, Fadhlina menjelaskan yang pihaknya ketika ini tanpa berlengah lagi sedang berusaha keras untuk memastikan proses pindaan Akta DBP 1959 itu dapat diselesaikan, sebelum ia dibawa untuk dibentangkan di Parlimen.

“Ya kita sedang bekerja keras ke arah itu (pindaan Akta DBP 1959). Memang itu tanggungjawab yang diberikan kepada DBP.

“Ia bagi memastikan pindaan undang-undang itu (Akta DBP) dapat kita segerakan dan dapat kita bentangkan di Parlimen sesegera yang mungkin,” katanya ketika ditemui pada Malam Puisi Riong 2024 di DBP, malam tadi.null

Memetik laporan BH pada 22 Disember 2022, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, ketika itu berkata kelulusan pindaan Akta DBP 1959 yang sedang dalam semakan dijangka selesai sekitar awal 2023.

Bagaimanapun, sejak pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertukar tampuk pemerintahan, pindaan akta itu masih belum dimuktamadkan.

Usaha pindaan akta itu bermula sewaktu di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

BH pernah melaporkan mengenai draf pindaan Akta DBP 1959 antara lain mencadangkan denda tidak kurang RM50,000 atau hukuman penjara kepada individu yang tidak menghormati bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Menerusi pindaan Akta DBP 1959 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, status DBP akan ditukar kepada pihak berkuasa bahasa, sekali gus memastikan agensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertaring untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan atau pengabaian bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Sebelum ini, DBP pernah mengemukakan pindaan akta berkenaan membabitkan tiga perkara utama.

Ia bagi membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termasuk di pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, ia membabitkan pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Awang Sariyan, Perkara 152(6) memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa awam.

Dengan peruntukan itu, ia membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa berasaskan undang-undang, walaupun agensi itu sejak 1980-an sudah pun melaksanakan pengembangan bahasa serta persuratan Melayu di peringkat dunia.-BH Online