PUTRAJAYA: Penjawat awam yang dihukum hanya kerana membuat aduan atau menjadi pemberi maklumat kes salah laku dan rasuah dalam perkhidmatan, boleh berjumpa terus Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Saya beri jaminan, saya akan pastikan, kalau mereka dihukum kerana menjadi pemberi maklumat, mereka boleh datang berjumpa saya,” kata Shamsul Azri.
Memberi jaminan itu ketika sesi wawancara bersama Media Prima Berhad, beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan keadaan lebih baik.
“Kami mahu menjadikan keadaan lebih baik, jadi kita benarkan jika ada maklumat yang boleh membantu kerajaan, salurkan maklumat itu, kita amat menghargai input yang diberikan, kita tak akan hukum anda,” katanya.
Namun, KSN mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyalurkan maklumat palsu sehingga boleh mewujudkan situasi tidak selesa kalangan penjawat awam lain.
Katanya, setiap kali menerima maklumat daripada penjawat awam, beliau akan mengarahkan pegawainya menyelidik input terbabit, selain turun sendiri ke jabatan atau agensi berkaitan.
“Ini sebahagian daripada apa yang boleh dikatakan strategi ‘whistleblower’ saya, untuk jadikan keadaan lebih baik. Saya terima semua maklumat yang saya dapat.
“Saya sendiri akan hubungi ketua jabatan atau saya sendiri akan ke jabatan itu dan buat siasatan. Sebab itu saya suka buat lawatan mengejut,” katanya.
Tegasnya, di bawah pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, kerajaan serius menangani salah laku, rasuah dan tatakelola kerana mahu meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
Justeru, beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan akan diambil kerajaan bagi memastikan usaha melawan sebarang bentuk rasuah dan salah laku mencapai kejayaan, termasuk menerima aduan terus daripada kakitangan kerajaan.
Tekad hapus amalan rasuah
Bagi perkhidmatan awam, Shamsul Azri menekankan, tekad menghapuskan amalan rasuah di semua peringkat perlu bermula dengan integriti dan kakitangan kerajaan harus melaksanakan tugas dengan amanah serta jujur.
Beliau juga percaya pendekatan menangani gejala negatif itu wajar diperbanyakkan menerusi aspek pendidikan, bukan berdasarkan hukuman semata-mata.
Melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, kerajaan yakin dan komited ke arah menghapuskan segala bentuk rasuah dengan konsep MADANI menjadi panduan utama.
Malah, Perdana Menteri sendiri mengulangi pendirian Kerajaan Perpaduan yang tidak akan sama sekali melindungi mana-mana individu terlibat amalan rasuah.
Shamsul Azri turut menjelaskan, larangan penjawat awam membuat sebarang kenyataan seperti termaktub dalam pekeliling kerajaan tidak bermakna mereka tidak boleh menjadi pemberi maklumat.
“Memang ada pekeliling bahawa penjawat awam tak boleh buat kenyataan terbuka, khususnya melalui media sosial, iaitu penjawat awam tidak boleh membuat kenyataan yang boleh memberi reputasi buruk kepada kerajaan.
“Maksudnya tak boleh bercakap buruk. Kejadian seorang guru bercakap mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, menghina Orang Asli, perkara seperti itu tak boleh, tapi tak bermakna penjawat awam tak boleh jadi pemberi maklumat,” katanya.-BH Online