Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31, di Lima, Peru, dari 14 hingga 16 November.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Anwar akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bertemakan “Empower. Include. Grow.”, mesyuarat ini akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin APEC untuk memperkukuh pertumbuhan mampan dan pembangunan inklusif di rantau Asia Pasifik.

“Penyertaan peringkat tertinggi ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terlibat secara aktif dan konstruktif dalam kerangka APEC, sekali gus menegaskan komitmen negara dalam memperkukuh daya tahan ekonomi, pertumbuhan mampan, dan kemakmuran inklusif,” katanya.

Ia berkata Perdana Menteri juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan CEO APEC 2024, bersama wakil-wakil pengurusan tertinggi daripada 17 syarikat korporat terkemuka Malaysia untuk berkongsi pendekatan strategik Malaysia terhadap revolusi kecerdasan buatan (AI).

Strategi itu termasuk memanfaatkan AI bagi pertumbuhan ekonomi dan produktiviti serta menekankan komitmen Malaysia terhadap inovasi, peningkatan kemahiran digital, dan tadbir urus untuk memastikan aplikasi AI secara beretika dengan manfaat yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

Bagi mempertingkatkan penglibatan delegasi perniagaan, satu mesyuarat meja bulat bersama pemimpin

industri utama dari Peru juga telah dijadualkan, menyediakan platform bagi pertukaran bermakna dan potensi kerjasama perniagaan kepada perniagaan (B2B).

Di samping penyertaan dalam AELM, Anwar akan turut serta dalam Dialog Tidak Formal Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC, serta pertemuan dengan pemimpin-pemimpin industri yang diatur oleh MITI.

“Perbincangan ini bertujuan untuk meraih potensi pelaburan yang akan mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan keutamaan strategik yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan inisiatif ekonomi negara yang lain,” kata kementerian itu.

MITI berkata, sempena lawatan rasmi ke Lima, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat untuk memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia, meneroka peluang integrasi ekonomi yang lebih mendalam dalam APEC, serta membincangkan bagaimana perdagangan dan pelaburan dapat membantu mengurangkan kesan cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa.

Sebagai Pengerusi APEC 2024, Peru, diketuai oleh Presiden Dina Ercilia Boluarte Zegarra, akan mengetuai perbincangan Pemimpin APEC yang memberi tumpuan kepada pengukuhan integrasi ekonomi, mempromosikan pertumbuhan mampan dan inklusif, memajukan transformasi digital, meningkatkan keterjaminan makanan, serta memupuk daya tahan rantaian bekalan dalam menghadapi cabaran global semasa, kata MITI.

“Peru dijangka memimpin Pemimpin APEC untuk menerima pakai Pelan Induk Lima 2024 bagi Menggalakkan Peralihan kepada Ekonomi Formal dan Global, serta Kenyataan Ichma bagi Pandangan Baharu untuk memajukan Zon Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP), yang menegaskan dedikasi rantau ini untuk menangani cabaran global dan memajukan Visi Putrajaya APEC 2040.

“Deklarasi Pemimpin yang akan dikeluarkan bakal mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama antara ekonomi APEC, khususnya dalam isu perubahan iklim, keterjaminan makanan, rantaian bekalan, serta komitmen bersama terhadap agenda FTAAP,” katanya. – Bernama