JASIN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Selatan bagi membantu pesawah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan (NS) yang menghadapi masalah pengairan di kawasan jelapang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu bagi membolehkan urusan membantu pesawah ketiga-ketiga negeri berkenaan lebih tersusun dan terurus berbanding sebelum ini.
Selain itu, katanya, KPKM juga sedang berusaha untuk mendapatkan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki saliran pertanian di kawasan luar jelapang.
“Ini kerana pembangunan saliran yang baik di kawasan luar jelapang adalah sangat penting sebagai persediaan negara bagi menghadapi ancaman perubahan cuaca yang semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
“Sebab itulah, saya sendiri sudah beberapa kali berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk membuka jelapang padi baharu di negeri berkenaan.
“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak dalam belanjawan itu baru-baru ini bersetuju untuk memperuntukkan RM500 juta bagi memperbaiki infrastruktur sawah di negeri terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) MR 326 di Kampung Sempang, Merlimau di sini, petang tadi.
Pengisytiharan nama Kesidang itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Yang turut hadir EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Mohamad berkata varieti baharu padi MARDI MR326 yang kini dikenali sebagai Kesidang dihasilkan melalui kacukan antara induk SPD 175 dan MR255 yang diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan alternatif kepada varieti sedia ada terutama di kawasan luar jelapang.
Katanya, varieti terbabit dikategorikan sebagai pokok sederhana tinggi, tegak dan daun pengasuh sederhana panjang yang sudah melepasi fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama 15 tahun bermula pada 2009.
“Fasa akhir kajian iaitu projek peningkatan skala dilaksanakan di Kampung Sempang, Merlimau yang akan dijadikan sebagai plot pengisytiharan varieti ketika ini.
“Selain peningkatan skala bersama pesawah di kawasan luar jelapang di Semenanjung, varieti itu juga boleh diketengahkan untuk ditanam di Sabah dan Sarawak.
“Kesidang itu juga boleh diperkenalkan di kawasan jelapang padi di Malaysia kerana potensi hasilnya juga adalah baik dan secara amnya setanding dengan varieti MR297 di sesetengah lokasi seperti di Titi Serong, Perak; Sungai Besar, Selangor; Teratak Pulai dan Mulong di Kelantan serta Penaga di Pulau Pinang.
“Sehingga kini, MARDI sudah menghasilkan 56 varieti padi dengan 41 daripadanya adalah varieti bagi beras putih biasa dan 12 varieti spesialti,” katanya.-BH Online