Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG, 12 Oktober– Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap inovasi turapan jalan menggunakan produk Stone Mastic Asphalt (SMA), dapat digunakan secara meluas di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata produk campuran plastik terpakai yang dikenali sebagai SMA20-Plastic Modified Binder, dapat menyelesaikan masalah jalan berlubang.

Produk berkenaan adalah hasil inovasi PETRONAS Research Sdn Bhd (PRSB), yang sudah diluluskan menerusi ujian lapangan pada 23 April lalu.

Katanya, ketahanan produk itu telah terbukti apabila mampu mengatasi masalah jalan berlubang serta dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran serta bebanan kenderaan berat.

“Saya kira kebaikannya ada banyak. Antaranya ialah boleh mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kita tahu bahan plastik ini terurai beratus tahun di alam sekitar dan mencemarkan alam sekitar.”

“Perkara yang kita buat ini untuk membersihkan alam sekitar dan pada masa sama boleh buat pigmen yang lebih kukuh serta jangka hayat lebih panjang. Itu yang menarik.”

“Walaupun kosnya sedikit tinggi tetapi jika ia dilaksanakan secara besar-besaran, saya kira kosnya akan turun. Ia satu perkara yang baik untuk negara kita,” kata Ahmad Maslan kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas meninjau Jalan Persekutuan FT185 di Tanah Tinggi Lojing, di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Ramli Mohd Nor.

Jalan Persekutuan FT185 di Tanah Tinggi Lojing menjadi lokasi pertama mengguna pakai bahan tersebut.

Diturap sepanjang 200 meter dan dalam tempoh setahun 10 bulan, tiada kerosakan dikesan.-Berita RTM