KUCHING, 11 Oktober-Kerajaan bersetuju melanjutkan kemudahan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (R-A-S) di Sabah dan Sarawak untuk tempoh setahun lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri Selasa lepas. Ia mengambil kira proses pengambilalihan Syarikat MASwings oleh Kerajaan Sarawak yang belum selesai sepenuhnya.
Katanya perbincangan masih lagi diteruskan diantara Kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad serta Malaysia Aviation Group melibatkan beberapa perkara seperti pengoperasian dan perjanjian komersial.
“Selepas proses pengambilalihan itu selesai, kita (Kementerian Pengangkutan) akan runding semula untuk satu perjanjian yang tempohnya lebih panjang dan dari segi prinsip, saya sudah nyatakan pendirian kerajaan persekutuan, tiada masalah melanjutkan RAS yang buat masa ini melibatkan subsidi RM209 juta setahun,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) di sini hari ini.
Perjanjian RAS ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan.
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata MASwings yang akan menjadi syarikat penerbangan milik Sarawak dijadualkan mula beroperasi pada 2025.-Berita RTM