Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat mendoakan supaya keadaan jerebu di negara ini lebih terkawal bagi membolehkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berlangsung dengan baik.

Perdana Menteri berkata, Malaysia kini sedang membuat persiapan bagi menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

“Kita juga sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dan berikutnya Hari Malaysia. Hari Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September.

“Kita doakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala mudah-mudahan jerebu lebih terkawal supaya sambutan boleh diadakan,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-80 TM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Terdahulu, Fahmi pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet memaklumkan kerajaan akan meneliti semula skala dan lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur termasuk Sarawak.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil maklum perkembangan keadaan jerebu daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Katanya, Shamsul Azri akan mempengerusikan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan petang ini bagi menilai kesesuaian penganjuran sambutan berkenaan.