Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi hab inovasi teknologi di Asia Tenggara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof 

Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, semua pihak termasuk universiti, industri dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama membangunkan sektor jurutera di negara ini.

“Kita perlu bekerjasama dengan pihak universiti dalam melahirkan lebih banyak jurutera, sekali gus menjadikan negara ini sebagai hab inovasi.

“Setakat ini, jumlah jurutera berdaftar di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) sebanyak 200,000 orang dan pihak universiti mampu melahirkan kira-kira 15,000 jurutera setiap tahun,” katanya berucap sempena Majlis Konvensyen BEM, di sini, hari ini.

Terdahulu Fadillah menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkenalkan sistem pendaftaran elektronik secara pukal (e-bulk) untuk pelajar universiti tempatan kepada BEM. 

Sistem pendaftaran e-bulk itu berfungsi sebagai platform secara dalam talian bagi membolehkan graduan kejuruteraan mendaftar, memohon dan meningkatkan kemahiran kejuruteraan dalam persekitaran kerja profesional. 

Ia juga dapat memastikan pengalaman praktikal graduan ini diiktiraf dan disahkan pihak BEM, seterusnya membantu mengawal sektor kejuruteraan dalam negara ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan mahu jurutera di negara ini bukan saja mahir dalam bidang reka bentuk infrastruktur, tetapi juga mampu memberikan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi di negara ini mahupun peringkat antarabangsa.

Katanya, jurutera berperanan penting dalam membangunkan negara terutama dari segi ekonomi.

“Kita perlukan lakukan penyelidikan lebih mendalam supaya mampu membekalkan penyelesaian kepada masalah dihadapi negara mahupun pada peringkat global,” katanya.-BH Online