Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar menjadikan Malaysia sebagai hab penjanaan kecerdasan buatan (AI) dan menyiapkan Pelan Tindakan Teknologi AI dalam masa 12 bulan akan datang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, selaras usaha meletakkan Malaysia sebagai negara berdaya saing dalam landskap AI global, kerajaan juga dalam proses menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan untuk menyelaras semua inisiatif berkait teknologi itu.

Selain itu, katanya, kerajaan akan turut mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh untuk melindungi data sensitif dan infrastruktur kritikal dalam persekitaran awan di sektor awam dan swasta.

“Dalam tempoh 12 bulan akan datang, kami menyasarkan untuk mencapai beberapa hasil utama, termasuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026-2030.

“Selain itu, penubuhan rangka kerja kawal selia untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI yang beretika dan mampan. Kami juga akan mempercepatkan penggunaan AI dalam sektor utama di seluruh Malaysia. 

“Kami bukan hanya ingin menarik sebarang pelaburan pusat data, kami mahukan rakan kongsi yang berkongsi nilai kami ke arah masa depan yang mampan,” katanya.

Beliau memaklumkan demikian ketika berucap pada majlis ‘Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event‘, di sebuah hotel, di sini hari ini.

Ia adalah majlis pecah tanah untuk pusat data dan wilayah awan pertama di Malaysia bertempat di Elmina Business Park, Selangor, membabitkan pelaburan AS$2 bilion (RM8.29 bilion) seperti diumumkan Google sebelum ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dasar kerajaan untuk menarik pelaburan digital adalah jelas, bermatlamat memodenkan Malaysia melalui kemajuan teknologi seperti AI.

“Kita bukan saja akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, tetapi juga memupuk budaya inovasi dan literasi digital yang akan meresap ke seluruh masyarakat,” katanya.

Dari perspektif serantau, katanya, apabila mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan, Malaysia akan meletakkan diri sebagai juara serantau bagi dasar digital yang berpandangan ke hadapan dan transformatif.

“Ini untuk menggalakkan persekitaran kawal selia yang menyokong kemajuan teknologi dan untuk memupuk kerjasama dalam kalangan semua negara anggota,” katanya.

Anwar berkata pelaburan teknologi big data oleh Google amat bermakna kepada negara, memandangkan manfaat besarnya bakal diraih semua kelompok masyarakat.

Katanya, beliau tertarik dengan pandangan Google dan Tengku Zafrul bahawa pelaburan itu selaras hasrat Malaysia dalam dasar digital, AI serta dasar hijau yang mengambil kita keperluan semasa dan tidak meninggalkan seluruh kelompok masyarakatnya.

“Dengan memanfaatkan teknologi awan, kami menyasarkan untuk memodenkan operasi kerajaan, memupuk penglibatan rakyat dan memperkemas penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Mengenai rangka kerja dan protokol keselamatan teguh untuk melindungi data sensitif dan infrastruktur kritikal dalam persekitaran awan di sektor awam dan swasta, beliau menjelaskan, ia antara empat teras diberi penekanan dalam dasar awan negara.

Inisiatif itu, katanya, sekali gus menunjukkan kerajaan komited untuk memperkukuh kepercayaan pengguna dan keselamatan datanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan meningkatkan inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam. 

“Dengan memanfaatkan teknologi awan, kami menyasar untuk memodenkan operasi kerajaan, memupuk penglibatan rakyat dan memperkemas penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Teras ketiga, kata Anwar, kerajaan berusaha untuk menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi serta memacu pengembangan ekonomi.

Ia, katanya, dengan membolehkan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses kepada pasaran global.

“Kami akan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital. Pendekatan kami akan berpaksikan rakyat dan inklusif.

“Menggunakan teknologi awan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan perkhidmatan awam yang memberi keutamaan kepada digital,” katanya.