PUTRAJAYA, 30 September – Pembangunan infrastruktur di institut pengajian tinggi (IPT) dan program pengantarabangsaan universiti akan menjadi antara fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Belanjawan 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut menegaskan bahawa aspek pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) di universiti dan politeknik juga akan diberikan perhatian, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi tersebut.
“Kami mengharapkan bajet berkaitan penambahbaikan kemudahan universiti, baik pulih universiti dan politeknik serta industri berkaitan, termasuk penggantian peralatan usang. Pada masa yang sama, kami juga berharap program pengantarabangsaan pendidikan tinggi dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPT, di sini.
Dalam perkembangan lain, Zambry mengumumkan bahawa ‘Festival of Ideas’ akan dijadikan program tahunan KPT, yang akan memaparkan hasil kajian dan penyelidikan rakyat Malaysia yang kurang dikenali.
Putrajaya akan dijenamakan sebagai ‘Kota Idea’, lokasi utama untuk program berskala besar ini, yang bersifat global dan terbuka kepada rakyat dari pelbagai peringkat, dengan sasaran awal penyertaan sebanyak 500,000 orang.
“YAB Perdana Menteri pada dasarnya telah bersetuju dengan program ini, dan Putrajaya akan menjadi ‘The City of Ideas’. Setiap tahun akan ada satu program besar dan butiran lanjut akan saya umumkan nanti,” tambahnya.-Berita RTM