KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan bagi keperluan mangsa banjir di beberapa negeri terutama Kedah mencukupi.
Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata menjadi tanggungjawab kementerian itu memastikan bekalan mencukupi supaya mangsa yang terjejas akibat bencana itu tidak terputus bekalan.
Beliau berkata, kementerian itu juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa bagi menyalurkan bantuan segera melalui bank makanan di lokasi terkesan dan diselaraskan bilik operasi bencana banjir.
Katanya, semua KPDN negeri dan cawangan juga diarahkan untuk sentiasa peka dan bekerjasama dengan jawatankuasa pengurusan banjir di peringkat negeri dan daerah.
“Jadi SOP (prosedur operasi standard) sudah ada, kita telah melantik di suatu kawasan tersebut kita sudah ada DDR (peruncit terpilih daerah) dan DDW (pemborong terpilih daerah) yang telah dikenal pasti lebih awal.
“Jadi apabila berlakunya banjir kita akan aktifkan pendekatan tersebut untuk memastikan supaya rakyat kita tidak terputus bekalan
“Insya-Allah kita akan pastikan, kita telah buat persiapan pada bulan monsun cuma ini kita membuat lebih awal kerana kita melihat mungkin ini disebabkan oleh faktor perubahan cuaca yang nampaknya keadaan cuaca ini sudah agak sukar diramal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jualan RAHMAH MADANI Mega Negeri Terengganu 2024 di Surau Al-Iman Losong Panglima Perang di sini hari ini.
Armizan berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertanggungjawab menyediakan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas.
“Jadi kita membantu bersandarkan kepada maklum balas daripada agensi-agensi lain sekiranya ada keperluan, maka kita akan usahakan bekalan tambahan,” katanya.-BH Online