PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan semua agensi berkaitan akan terus memantau dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan banjir susulan bencana itu yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata SOP sama juga terpakai dan sedia dilaksanakan sebagai persediaan serta persiapan berdepan bencana itu menjelang musim tengkujuh.
Katanya, kerajaan juga memberi tumpuan kepada bantuan yang perlu disalurkan kepada mangsa banjir dan merangka pelan jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir pada masa akan datang.
“Yang penting kita sudah ada kerangka yang saya katakan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang kita wujudkan, di setiap peringkat sudah ada.
“Jadi apabila berlaku bencana, SOP khususnya berkaitan menyelamat dan memindahkan mangsa itu akan bergerak untuk pastikan apa sahaja tindakan, usaha menyelamat akan ada, SOP itu sudah ada, ia bergerak agak baik sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan di sini, hari ini.
Fadillah berkata, di peringkat Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah mempunyai perancangan untuk menangani risiko banjir.
“Beberapa langkah akan diambil secara serentak, ada yang boleh diselesaikan segera dan ada yang memerlukan masa sederhana serta panjang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, semua agensi berkaitan akan memastikan keselamatan rakyat menjadi keutamaan mereka dan melaksanakan tindakan segera jika bencana itu melanda.
“Mereka yang terjejas akan dipindahkan ke tempat yang selamat, kita akan melihat dari segi bantuan yang perlu diberi serta melihat apakah perancangan jangka panjang dan sebagainya.
“(Bencana banjir yang berlaku) ini dikatakan perubahan iklim yang yang kita tak dapat jangka, yang penting kita sudah ada kerangka yang saya katakan di bawah NADMA,” katanya.-BH Online