Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 8.30 pagi disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat lima helikopter EC725A, Agusta 109 dan Fennec milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril dari Skuadron 10 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Semua pesawat membawa lima bendera iaitu Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan TUDM, disusuli 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.nullnull

Sultan Ibrahim kemudian memeriksa perbarisan terdiri 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad.

Keadaan cuaca cerah dengan suhu sekitar 26 darjah celsius mengiringi perbarisan berlangsung hampir sejam itu yang turut menampilkan acara gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya dengan persembahan lagu-lagu patriotik.

Usai pemeriksaan barisan, gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan, sekali gus istiadat mengarak lima Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Istiadat diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Sultan Ibrahim sekali lagi menerima lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan majlis itu pada 9.25 pagi.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman. 

Istiadat berkenaan diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Istiadat itu merupakan majlis terakhir daripada enam acara yang dijadual berlangsung bermula 2 Jun lalu hingga hari ini, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 3 Jun lalu.-BH Online