PUTRAJAYA Cadangan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya akan membawa dan mencadangkan isu itu ke Mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perkara itu (pampasan).
“Minggu depan ada Mesyuarat Kabinet Insya-Allah saya akan bawa isu ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Apresiasi & Penyampaian Hadiah Floria 2024 di Persiairan Tasik,Presint 2 di sini, semalam.
Yang turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan sedia mempertimbangkan memberi pampasan kepada keluarga wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India 24 Ogos lalu.
Zaliha berkata, pihaknya sudah bertemu dengan keluarga mangsa dan mereka bersetuju untuk menghentikan usaha pencarian.
Katanya, beliau juga sudah berbincang dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddydan dan beliau memberi penghargaan ke atas usaha dilakukan sejak hari pertama.
Semalam, Dr Zaliha memaklumkan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang terjatuh di lokasi kejadian dihentikan.
Katanya, keputusan itu diambil atas beberapa faktor terutamanya disebabkan keselamatan anggota dan keselamatan lokasi.-BH Online