Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam proses rundingan harga premium tanah dengan kerajaan negeri Sarawak, bagi pembinaan pangkalan tambahan baharu Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu, Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini Kerajaan Sarawak memberi sokongan kuat agar pembinaan pangkalan itu dilaksanakan.

Katanya apabila siap kelak pembinaan pangkalan tambahan TLDM di Bintulu, ia akan menempatkan pangkalan Kapal Misi Pesisir (LMS).

“Kita telah bincang dengan kerajaan negeri (Sarawak) memberi sokongan kuat supaya dibina pelabuhan tentera laut di situ kerana mengikut perancangan kita, bila kapal LMS siap. Kapal LMS akan berpangkalan di situ.

“Kita sedang runding dari segi harga. Itu sahaja. Jadi kalau harga itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak maka kita akan mula bina pangkalan tambahan baru untuk TLDM di Bintulu. 

“Di Malaysia Timur, kita hanya ada satu pangkalan di Sabah. Kita tidak ada pangkalan di Sarawak kerana keadaan Sarawak tidak sesuai sebab air cetek. Hanya di situ (Bintulu) sahaja yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Tapak Knowledge Transfer Programme (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) TLDM di Bintulu, akan dimulakan apabila proses pembayaran premium tanah kepada kerajaan Sarawak selesai tidak lama lagi.

Mohamed Khaled juga dilaporkan berkata pembinaan pangkalan tambahan baharu TLDM itu antara isu yang dibincangkan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dalam kunjungan sulungnya.-BH Online