Kerajaan perlu mengambil pendekatan berhati-hati dalam menerima jemputan daripada negara luar bagi memposisikan Malaysia sebagai negara berkecuali.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia perlu berhati-hati dalam hubungan dua hala supaya tidak dilihat condong kepada mana-mana negara.
Katanya, walaupun mempunyai hubungan baik dengan Russia namun dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu, kehadiran atau lawatan Perdana Menteri perlu dirancang dengan baik.
“Jemputan kepada Perdana Menteri banyak, tapi kita perlu berhati-hati bagi memposisikan negara… lawatan Perdana Menteri atau lawatan saya sebagai Menteri Luar dianggap sebagai pengiktirafan kepada hubungan luar negara.
“Nasihat Kementerian Luar kepada Perdana Menteri adalah meneliti setiap satu jemputan, kerana tidak mahu terjerumus dengan politik dunia yang lebih kompleks dan menimbulkan masalah dengan negara-negara lain,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanya bila Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Russia.
Mohamad berkata, hubungan Malaysia dengan Russia dan China adalah baik.
“Kita sebuah negara berdagang dan ekonomi perdagangan. Kita mahu bersahabat dengan semua orang.
“Ini adalah asas dasar luar negara kita, iaitu bukan saja diplomatik biasa tetapi diplomatik perdagangan,” katanya.-BH Online