Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan bersetuju untuk memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bakal disalurkan kepada golongan sasar menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan tanggungjawab menguruskannya terletak di bawah seliaan Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Perkara ini diserahkan kepada Ahmad Zahid untuk memutuskan keutamaannya kerana beliau mempunyai mandat penuh daripada Jemaah Menteri untuk melaksanakan TVET dan beliau lakukan dengan berjaya.

“Ini kerana kita mahukan perkasakan bidang-bidang seperti kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), bahan termaju, teknologi elektrik dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang bertempat di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Selain itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, pihaknya bersetuju untuk membuka lebih banyak segmentasi TVET kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan penduduk luar bandar khususnya masyarakat orang asal di Sabah serta Sarawak.

Hal ini kerana jelasnya, pendekatan tersebut selari dengan penerapan dasar dan Kerangka Ekonomi Madani.

“Saya fikir tiada masalah, kita boleh luluskan (peruntukan). Oleh itu, kita perlu beri laluan sepertimana dicadangkan pengerusi TVET.

“Justeru, saya harap setinggi-tingginya daripada anak-anak pelajar, pelatih dan pensyarah untuk lihat bidang TVET ini menerusi kaca mata bahawa Malaysia mampu diangkat sebagai negara hebat serta berteknologi di masa depan.

“Bukan sahaja soal mendapat pekerjaan, tetapi pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi,” ujar beliau lagi.-Sinar Harian