Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu diperluas menerusi peruntukan lebih besar jika kegiatan rasuah dan salah urus tadbir dapat dihentikan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kegiatan ‘sakau’ mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit, selain mengingatkan negara memiliki potensi besar dalam bidang TVET terutama apabila Malaysia kini menjadi tumpuan pelaburan asing khususnya di sektor semikonduktor.

“Kalau gerakkan sekarang (kerjasama semua pihak) dengan pelaburan yang masuk, kestabilan politik serta tindakan berani dan kita hentikan kerja-kerja sakau, beli barang TVET harga RM40 juta, sakau RM5 juta. Hendak buat projek tebatan banjir, harga RM1 bilion, sakau RM200 juta.

“(Tindakan) khianat ini mesti dihentikan supaya kita dapat pulangkan wang kepada rakyat. Golongan muda kena faham, sebab orang marah kita, apa asyik cakap soal sakau, rasuah dan tatakelola? Ya, kerana inilah menyebabkan kita sulit untuk mencari wang sekarang!https://7babab0e5d3e8c2b7e04783591c8115b.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html?n=0

“Tangkap di KLIA (Lapangan Terbanga Antarabangsa Kuala Lumpur), Pelabuhan Klang, saya beritahu kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), geledah, tangkap siapapun yang mencuri hak negara kerana kita hendak selamatkan Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan pada Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat di sini hari ini.

Pada majlis sama, Perdana Menteri melancarkan Dasar TVET Negara 2030 sebagai rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan bidang berkenaan secara holistik dapat dilakukan menjelang 2030.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Sementara itu, Anwar menjelaskan, penyasaran semula pemberian subsidi bagi pelbagai perkhidmatan dan barangan dijangka mampu dapat menjimatkan perbelanjaan negara dalam jumlah besar.

Beliau berkata, penyasaran semula subsidi itu bukan bermakna pemberian kemudahan berkenaan dihentikan, sebaliknya penyaluran bantuan akan diagih kepada golongan tertentu, terutama masyarakat berpendapatan rendah.

“Subsidi ini memang bagus diberi, tetapi perlu disalurkan kepada golongan susah, bukannya orang kaya atau warga asing yang tidak membayar cukai kepada negara.

“Bila kita selamatkan (pemberian subsidi), percayalah ini untuk TVET, kita laksanakan itu berkesan, peruntukan TVET akan ditambah.

“Ia bukan untuk naik gaji menteri atau beri projek kepada keluarga menteri, tidak. Gaji menteri masih dipotong 20 peratus, manakala Perdana Menteri masih tak ambil gaji.

“Saya umumkan dasar penyasaran subsidi kerana dalam masa terdekat kita akan umumkan penyasaran subsidi diesel. Jadi, biar jelas dan terangkan kepada ibu bapa, jimat belanja, hasil bertambah, program TVET kita kembangkan,” katanya.

Mengenai penyasaran subsidi diesel, Anwar berkata, pemberian kemudahan itu masih akan dinikmati pelbagai pihak, termasuk golongan petani, nelayan, pengendali bas sekolah dan teksi.

Beliau berkata, individu atau pihak berkenaan boleh menghantar surat kepada kementerian berkaitan sekiranya jumlah penyasaran subsidi diterima mereka tidak mencukupi untuk menampung kos operasi masing-masing.

“Kita hentikan pemberian subsidi diesel kepada syarikat besar, pihak yang curi diesel untuk kapal nelayan asing mahupun aktiviti penyeludupan,” katanya.-BH Online