Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, akan diumumkan minggu depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau akan meminta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menetapkan tarikh sesuai bagi membuat pengumuman berkenaan.

“(Soal calon) yang itu kita dah senaraikan dan kita ambil calon yang layak, ramai yang layak dan insya-Allah kita umum pada minggu depan.

“(Mengenai) tarikh, saya minta Timbalan Presiden (PKR), Rafizi Ramli untuk umum, tengok tarikh yang sesuai minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini. 

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. 

Calon PRK daripada PKR

Ditanya sama ada calon yang bakal dinamakan dipilih daripada PKR, Anwar sekadar berkata, setakat ini ia dicadangkan begitu. 

“Kita selalu prosesnya kita berbincang, pimpinan parti sudah (berbincang), tapi kepimpinan PH, (Barisan Nasional) BN, kita maklum dalam (Majlis Perundingan Pimpinan) Kerajaan Perpaduan,” katanya. 

Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menunaikan solat bersama kira-kira 5,000 jemaah di masjid berkenaan. 

Beliau yang lengkap berbaju Melayu warna biru turut mendengar khutbah bertajuk ”Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ yang disampaikan Ustaz Bambang Eirman Bahudin. 

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah sebelum beredar. 

Anwar sebelum itu turut bersama penduduk setempat menikmati makan tengah hari di Restoran Ummi Aisyah di Pusat Perdagangan Warisan Sentral, Kota Warisan.-BH Online