Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap kenderaan yang terbabit dalam sektor pembinaan dipertimbangkan untuk Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI). 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ia terutamanya membabitkan kenderaan yang membawa bahan binaan milik kontraktor kecil dan sederhana. null

“KKR cuma berharap agar segala kenderaan yang membawa bahan binaan termasuk dalam kumpulan yang dikecualikan daripada penarikan subsidi. 

“Ini agar sektor pembinaan tidak perlu menaikkan sebarang kos (kos pengangkutan) disebabkan rasionalisasi subsidi diesel. Itu harapan kami di KKR,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Persatuan Kontraktor Kelas F Bumiputera Malaysia (PERKOBF) dan Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Andy Kuek Kien Joo dan Presiden PERKOBF, Tukiman Radion. 

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, KKR juga akan menilai keperluan untuk meningkatkan lagi projek yang dilaksanakan secara undian. 

Beliau berkata, projek secara cabutan undi kerja itu dapat membantu 133,500 kontraktor berdaftar dapat memperoleh kontrak.

Daripada jumlah keseluruhan kontraktor itu katanya, sebanyak 66,678 adalah kontraktor kelas G1 yang sangat memerlukan kontrak projek melalui cabutan undi kerja di peringkat negeri dan daerah. 

“Kami berharap lebih banyak kontraktor kelas G1 hingga G4 dapat diberikan kontrak projek. 

“Kementerian yang ada seperti Kementerian Pendidikan diharapkan dapat meneruskan pemberian projek-projek seperti projek penambahbaikan tandas sekolah. 

“Usaha ini diharap dapat diteruskan dengan memberikan projek kepada kontraktor G1 seperti penambahbaikan klinik, dewan, dan sekolah uzur,” katanya. 

Sebelum ini KKR turut menaikkan jadual kadar harga kerja bagi kontraktor G1-G4 mengikut kos bahan dan perkhidmatan yang telah meningkat.

Perkara itu membolehkan kontraktor terbabit untuk melaksanakan kerja dengan baik yang membabitkan 457 kerja bernilai RM300 juta di seluruh negara.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Andy Kuek Kien Joo pula berkata MOU antara Planworth dan PERKOBF turut dapat membantu menangani kos kewangan kontraktor. 

Beliau berkata, ini membolehkan kontraktor dapat melaksanakan kontrak yang diberikan dengan lebih baik tanpa berhadapan dengan kekangan kewangan. 

MOU itu katanya akan membolehkan pihaknya menyalurkan dana pembiayaan untuk membantu kontraktor kecil menjalankan kerja-kerja yang diperolehi daripada kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga syarikat swasta yang terpilih. 

“Planworth telah memperuntukkan sejumlah RM700 juta pada tahun ini dalam usaha untuk terus menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perniagan korporat di Malaysia supaya terus berdaya maju. 

“Ia sekali gus memberi penyelesaian kepada keperluan kemudahan pembiayaan yang, amat diperlukan oleh mereka,” katanya.-BH Online