Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kekosongan kerusi disandang enam Ahli Parlimen BERSATU yang digugurkan keahlian mereka dalam parti, baru-baru ini.

Beliau juga memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat sebelum membuat apa-apa keputusan berkait status enam kerusi itu, terutama membabitkan undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663).

“Pertamanya, pada masa ini belum ada lagi (notis dihantar). Apa yang berlaku di luar itu pada saya adalah noise dan selagi saya tak menerima secara hitam putih apa yang disebut oleh parti, apa tindakan diambil oleh parti terhadap parti mereka, saya rasa itu bukan bidang kuasa saya… saya tidak harus masuk campur.null

“Kedua, saya ambil sikap bahawa mereka mungkin ahli parti, tetapi apabila mengangkat sumpah di depan saya untuk menjunjung Perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia di hadapan saya, jadi saya harus mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan dan hak Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum melawat Kyoto State Guest House selaku penginapan rasmi untuk tetamu negara bagi Jepun sempena lawatan rasmi lima hari bersama delegasi Parlimen Malaysia ke negara itu bermula Isnin, atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun, Fukushiro Nukaga.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). 

Dalam pada itu, Johari berkata beliau akan mengambil tanggungjawab untuk menilai setiap tindakan wakil rakyat sebagai Ahli Parlimen dan bukan ahli mana-mana parti.

“Untuk mengambil tindakan, saya mesti berhati-hati, saya mesti mendalami segala-galanya (dan) semua aspek sebab apa juga keputusan yang saya buat (bukan sahaja) akan memberi kesan kepada ahli parti itu atau Ahli Parlimen, tetapi juga negara.

“Saya mengambil sikap amat berhati-hati serta cermat dan selagi saya tidak yakin dengan keputusan yang saya buat itu, saya tak akan buat dulu. 

“Saya amat berhati-hati bukan sahaja (kerana) undang-undang, tetapi moral dan segalanya saya kena pastikan bahawa tindakan saya itu betul dan saya tidak mahu dipersalahkan atau rasa bersalah apabila saya tidak berada di jawatan itu nanti,” katanya. – BERNAMA