Siasatan terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor perlu disegerakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia sangat terikat kepada dasar kerajaan iaitu tiada hubungan diplomatik dengan Israel, selain tiada sebarang perjanjian perdagangan dengan kerajaan Zionis itu.
Menurut beliau, siasatan terperinci harus dilakukan termasuk melihat kemungkinan kontena terbabit dihantar oleh pihak ketiga.
“Jika ada barangan Israel berada di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, perkara ini harus kita lakukan pemantauan.
“Pihak lembaga pelabuhan dan kastam harus bertindak segera kerana kita tahu yang berlaku ini bukan hanya soal perdagangan, namun bagaimana peraturan-peraturan begitu ketat terbolos dengan adanya barangan itu (kontena) untuk memasuki salah sebuah pelabuhan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk dekat Hutan Melintang, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan kewujudan kontena itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.-BH Online