Sorting by

×

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pemimpin dunia Islam perlu menggembleng kudrat untuk berdepan cabaran dan kesengsaraan dalam era pasca normal terutama berkait isu Islamofobia, diskriminasi dan hipokrasi kuasa besar dunia. 

Perdana Menteri berkata, kegilaan dan hipokrasi jelas berlaku dalam isu membabitkan Ukraine sebagai contoh, berbanding apa yang dilakukan kuasa besar dunia terhadap Gaza dan Palestin.

“Ukraine menjadi pusat kepada kedudukan dasar asing untuk Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), namun begitu banyak toleransi dan penafian termasuk menerusi media arus perdana Barat (dalam konteks Palestin).

“Mereka mempersoal, di mana genosid, di mana ketidakadilan (dalam isu Palestin) dan ‘mantera’ mereka adalah 7 Oktober.

“Semua refleksi sebegini mengundang cabaran kepada dunia Islam, kepada saya dan anda semua sebagai profesor di universiti untuk menyahut cabaran yang cukup kompleks ini.

“Kita bukan mahu menentang sesiapa, tetapi untuk menyokong soal kemanusiaan,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di hadapan kira-kira 300 hadirin di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa di sini, hari ini.

Pada sesi syarahan umum hampir 25 minit itu, Anwar menyentuh pelbagai isu berkisar tajuk ‘Future of The Muslim World’ (Masa Depan Dunia Islam) termasuk mengenai kekejaman serta ketidakadilan seperti yang berlaku terhadap Palestin.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Anwar berkongsi detik pertemuan bersama Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani yang mana Emir Qatar itu turut membangkitkan isu sama berkait ketidakadilan dunia menangani isu Palestin. 

“Saya cukup terkesan apabila (Emir Qatar) menyatakan mengapa begitu banyak kerumitan, seperti saya cakap era pasca normal, sesetengah isu ditangani dengan simpati dan empati seperti di Ukraine dan Rwanda tetapi tidak buat rakyat Palestin baik ketika PLO, Fatah atau Hamas.

“Jawapan saya adalah Islamofobia. Prejudis timbul disebabkan kejahilan dan kebencian mengenai apa itu Islam.

“Oleh itu, segala idea mengenai kecintaan terhadap pengetahuan (lazzatul ma’rifah) perlu, kita (Muslim) tidak dibesarkan untuk membenci Kristian, Yahudi atau Hindu sebab al-Quran sendiri menyatakan kita perlu kenal mengenal (litaa’rafu) yang bukan sekadar bertoleransi, tetapi menjangkau jauh dari itu.

“Untuk memiliki pengetahuan, memahami, kenal mengenal satu sama lain, menzahirkan penghargaan dan menerima perbezaan,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri berkata, seperti mana Qatar, kedua-duanya menepati kriteria Itu sambil menyifatkannya sebagai negara yang mesra dan selesa dengan rakan lain.

“Kami (Malaysia) selesa dengan AS (Amerika Syarikat) dan China. jiran kami di utara adalah Thailand yang majoritinya penganut Buddha, di selatan pula Singapura dan lebih ke selatan Indonesia yang didominasi Muslim, Filipina dominannya Kristian dan bergerak ke sebelah timur adalah China dominan Buddha, Confucius.

“Tiada beza antara kami kerana rasa hormat dan kerjasama merangkumi perdagangan, pelaburan dan kesefahaman budaya,” katanya.

Malaysia juga, jelas Anwar, dibarisi 60 peratus Melayu dan sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan selesa sekiranya mendengar ada masyarakat Cina, penganut Kristian atau Hindu dan Buddha berasa didiskriminasi.

“Jika saya berbicara mengenai memerangi atau meningkatkan kemiskinan dalam negara, sama ada dia Islam, Melayu, Cina, India, Hindu, menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi mereka dan saya harap sikap sama dikekalkan di mana-mana,” katanya.

Anwar mengakui amat menyedihkan melihat banyak negara bukan Islam mempamerkan kebencian menebal dan ketidakadilan terhadap minoriti Muslim.

“Kenapa anda bercakap berkaitan kemanusiaan, demokrasi dan hak asasi manusia tetapi pada masa sama membenarkan perlakuan itu melanggar nilai dan melakukan genosid terhadap segmen populasi tertentu, sama ada di Rwanda atau di Gaza.

“Dapatkah anda bayangkan bagaimana selepas berdekad-dekad lamanya, kita masih melihat semua itu berlaku dan mengundang banyak kemarahan.

“Orang ramai termasuk di Malaysia marah disebabkan kegagalan keseluruhan sistem. Komuniti antarabangsa? Tiada. Kuasa besar? Tiada. Media arus perdana? Tiada atau minimal. Pokoknya, kekejaman berterusan,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri menegaskan pendirian bahawa apa yang berlaku di Gaza sekadar diabaikan.

“Saya tak kata ini kerana putus ada, sebaliknya saya optimis dan percaya kewarasan akan kembali akhirnya dan sebab itulah kita ada universiti untuk memupuk generasi seterusnya dengan nilai diperlukan.

“Pesan saya pada akademia dan mahasiswa yang hadir, terus istiqamah menjunjung nilai kemanusiaan dan ketulusan dalam merencana masa depan dunia Islam yang lebih cerah,” katanya. -BH Online