Sorting by

×

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan panduan pemetaan harga kediaman mampu milik bagi memastikan ia sesuai dan masuk akal.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata panduan pemetaan di bawah Dasar Perumahan Negara itu adalah lebih saintifik dengan mengambil kira negeri dan lokaliti tertentu.

“Sebagai contoh, sebelum ini di bawah Dasar Perumahan Negara, definisi kediaman mampu milik tidak melebihi RM300,000, tetapi harga rumah mampu milik di Kelantan dan Kuala Lumpur (jika) diukur pada titik yang sama iaitu RM300,000 mungkin tidak masuk akal.

“Justeru, bagi memastikan ia sesuai, KPKT sedang melaksanakan panduan pemetaan yang lebih saintifik di bawah Dasar Perumahan Negara bagi memastikan jenis harga yang sesuai boleh ditawarkan, bergantung kepada negeri dan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perumahan Serantau REHDA Institute, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip dan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk NK Tong.

Sementara itu, Kor Ming berkata, KPKT menjangkakan prestasi yang stabil dalam pasaran hartanah dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malah, beliau berkata, banyak saham dalam sektor hartanah turut mencatatkan peningkatan yang baik.

Katanya, pasaran hartanah negara sedang mencatatkan pemulihan dan pertumbuhan yang stabil, selepas merekodkan 399,000 transaksi hartanah bernilai sekitar RM200 bilion tahun lalu.

“Sejak kerajaan MADANI mengambil alih kepimpinan negara, hartanah tidak terjual telah menurun kepada kurang 24,000 unit berbanding 37,066 unit, pengurangan besar dan ketara melebihi 40 peratus.

“Malaysia kini menjadi destinasi menarik kepada ekspatriat dengan jumlah permit kerja yang dikeluarkan oleh imigresen kepada ekspatriat berkemahiran tinggi telah meningkat kepada 154,115 pada 2023, berbanding 110,819 pada 2022.

“Peningkatan lebih daripada 50 peratus ini menjadi petunjuk kukuh bahawa kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, pembangunan semula perancangan bandar menjadi agenda ekonomi dan sosial yang penting kepada Malaysia.

Katanya, kadar urbanisasi diunjurkan meningkat kepada 84 peratus menjelang 2040 berbanding kadar semasa 78 peratus.

“Banyak bangunan di Malaysia kini semakin usang dan usaha pembaharuan boleh membantu dalam memulihkan serta menghidupkan semula kawasan bandar yang usang dan tidak berdaya maju dari segi ekonomi melalui pelaksanaan Garis Panduan Pembaharuan Bandar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang mengubah Kuala Lumpur menjadi pusat bandar masa depan terkemuka dan contoh menerusi Pelan Induk Bandar Pintar Kuala Lumpur 2021-2025, Pelan Strategik DBKL 2021-2030 dan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040).

“Semua pelan ini tidak akan berjaya jika banyak bangunan di bandar kita termasuk hartanah strata tidak dihuni dan terbiar kerana isu undang-undang yang membawa kepada potensi kawasan setinggan bandar,” katanya.-BH Online