PADANG BESAR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menyelenggara kira-kira 63,000 kediaman di seluruh negara tahun ini menerusi Program Selenggara Elektrik Rumah Impian (SERI), termasuk 200 rumah bagi Parlimen Padang Besar melibatkan peruntukan RM100,000.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata program di bawah inisiatif MARA Prihatin itu bukan sahaja memberi fokus kepada penyelenggaraan litar elektrik rumah keluarga B40 dan asnaf, malah menjadi platform bersepadu menghimpunkan pelbagai bantuan pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
“Setakat ini, program SERI telah membantu 4,016 rumah di seluruh negara dan kita menganggarkan kira-kira 63,000 rumah akan diselenggara tahun ini.
“MARA Prihatin pula bukan hanya tertumpu kepada program SERI, tetapi turut melibatkan bantuan pendidikan kepada pelajar B40 dan asnaf, bantuan kecemerlangan SPM, bantuan persekolahan serta sokongan kepada golongan usahawan,” katanya selepas melancarkan Program MARA Prihatin Peringkat Negeri Perlis di Beseri dekat sini hari ini.
Zulfikri berkata MARA turut menyediakan bantuan insurans kepada pelajar asnaf menerusi anak syarikatnya, Rural Capital selain menawarkan pengurangan kadar sewa sebanyak 20 peratus kepada usahawan yang menyewa di premis MARA di seluruh negara.
Beliau berkata usahawan yang berdepan kesukaran ekonomi juga digalakkan tampil berbincang dengan pegawai MARA bagi membolehkan penjadualan semula pembayaran pinjaman dilaksanakan.
“Ini adalah antara bentuk keprihatinan MARA kepada rakyat, bukan sahaja dalam aspek pendidikan dan kebajikan, tetapi juga kepada usahawan yang terkesan dengan cabaran ekonomi semasa,” katanya.
Sementara itu, Zulfikri berkata usaha memperkukuh peranan MARA memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pemain industri bagi memastikan graduan institusi MARA memperoleh peluang pekerjaan.
Beliau berkata kadar kebolehpasaran graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA kini mencapai 97 peratus.
Program MARA Prihatin peringkat negeri itu turut menampilkan pelbagai pengisian komuniti termasuk pameran pendidikan Institut Pendidikan MARA (IPMA), pemeriksaan kesihatan, seminar keibubapaan, bantuan persekolahan, kenduri sekampung serta khidmat komuniti seperti penukaran minyak hitam dan gunting rambut percuma.– BERNAMA
