Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bersama memastikan kestabilan demi pemulihan ekonomi negara serta mengelak perpecahan khususnya berkaitan isu 3R (agama, raja, kaum) adalah di antara kandungan draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang perlu ditandatangani, sebelum kerajaan menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perincian draf terbabit sedang dimuktamadkan pihaknya untuk diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik dalam kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.

“Kita masih memperincikan (draf) tetapi gambaran (MoU) sudah saya berikan apa kandungannya iaitu pertama, untuk fokus supaya semua Ahli Parlimen ini melihat bagaimana untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.

“(Kedua) untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R (raja, bangsa, agama) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara di sini, hari ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini pada dasarnya bersetuju mengagihkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tetapi mahu MoU di antara kedua-dua pihak dirangka terlebih dahulu.

Susulan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata, Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan kerajaan bersetuju memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun katanya, PN akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan.

Ditanya bila draf MoU itu akan siap, Fadillah berkata, beliau tidak menetapkan sebarang tempoh waktu.

“Perjanjian ini sedang dimuktamadkan termasuk draf dan sebagainya.

“Tetapi saya tak tahu di peringkat PN sebab ada yang kata tak perlu perjanjian, tetapi apa pun kita akan melihat, kita siapkan dahulu draf (MoU),” katanya.-BH Online