Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia terbabit secara aktif dengan negara-negara ASEAN lain untuk memacu inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga elektrik di seluruh rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata melalui pertukaran sumber, pengetahuan dan teknologi, Malaysia boleh mengatasi pelbagai halangan dan mempercepatkan penggunaan teknologi hijau dalam memupuk langkah kolektif ke arah kemampanan

“Semasa kita mengenal pasti dan memperakui halangan-halangan pada masa hadapan, daripada kerumitan teknologi kepada kekangan ekonomi, kita terus kekal teguh dalam komitmen kepada rangka kerja dasar yang fleksibel dan versatil.

“Rangka kerja ini akan memastikan pengurusan adaptif dan integrasi lancar bagi teknologi baru muncul, mendorong kita melangkah ke hadapan di tengah-tengah cabaran dinamik,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN 2024 di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Malaysia akan terus terbabit dengan pihak berkepentingan utamanya dan mengekalkan dialog terbuka bagi memastikan strateginya kekal selaras dengan trend tempatan dan juga global, di samping mengemudi negara dengan mantap ke arah wawasan bersamanya untuk masa depan yang mampan.

Di pihak Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Fadillah berkata, ia akan terus bekerjasama secara proaktif dengan pelbagai kementerian, terutama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam membentuk persekitaran yang kondusif untuk memupuk pertumbuhan sektor tenaga negara.

Beliau berkata, PETRA juga memperluaskan usaha kerjasamanya untuk menerima pelbagai sektor swasta, daripada utiliti kepada syarikat tenaga.

Sementara itu Fadillah dalam sidang media berkata negara perlu mencari alternatif tenaga lain seperti solar, hidrogen dan biomas yang lebih mapan, mesra alam dan mampu dibiayai oleh pengguna.

“Kalau kita tengok kedudukan tanah Semenanjung, keperluan tenaga begitu banyak, tetapi sumber kita mungkin makin kurang khususnya nanti bila arang batu dihapuskan, dan kita masa ini akan bergantung kepada gas, tetapi gas pula makin mahal sebab kita terpaksa import.

“Tetapi potensi besar juga perlu dilihat di Sarawak dan Sabah, malahan di Pulau Borneo itu sendiri yang berada di tengah-tengah ASEAN merupakan potensi untuk menjadi pembekal tenaga boleh baharu untuk masa akan datang,” katanya.

Persidangan dua hari bermula hari ini menyediakan pelbagai program, antaranya perbincangan panel, bengkel dan pameran yang mempamerkan teknologi tenaga hidrogen terkini daripada syarikat terkemuka dan syarikat pemula.– BERNAMA