Sorting by

×

Semua parti dan penyokong di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) diingatkan supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekecohan dan mengancam ketenteraman awam termasuk menyentuh isu 3R (raja, agama, kaum) sepanjang tempoh berkempen. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata apa sahaja perkara yang bersifat ‘distructive’ (boleh menimbulkan kerosakan), wajar dielakkan oleh semua pihak.

Sepanjang tempoh 14 hari berkempen, beliau berkata, semua pihak juga diberi amaran supaya menjauhi sebarang penulisan dan ucapan yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak termasuk isu 3R.

“Saya berharap semua pihak mematuhi semua undang-undang yang ditetapkan dan mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

“Sila kawal tutur kata, ucapan serta tulisan di dalam semua aktiviti kempen yang dijalankan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan rakan strategik serta komuniti setempat di perumahan awam Flat Sri Sabah, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad. 

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, langkah awal serta persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi sebarang kemungkinan pada PRK KKB sudah ditaklimatkan sendiri oleh Razarudin, baru-baru ini. 

Beliau berkata, Razarudin sudah pun turun padang dan berjumpa petugas polis di daerah itu dan mengingatkan supaya PDRM kekal profesional sepanjang PRK berlangsung dengan fokus utama memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.-BH Online