Sorting by

×

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan eksport industri perkayuan untuk mencapai RM28 bilion menjelang 2030, kata Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, pada tahun lalu, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM21.8 bilion kepada pendapatan eksport negara.

Katanya, nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu telah susut sebanyak 13.3 peratus pada 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya, manakala kuantiti pula telah menurun dengan kadar 4.2 peratus pada tempoh sama. 

“Kemerosotan eksport ini ada beberapa sebab, satu daripada sebabnya ialah kedudukan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu menyebabkan permintaan berkurangan.

“Eksport kita dulu hampir 40 peratus membabitkan industri perabot dan produk kayu-kayan pergi ke Amerika, jadi apabila itu (permintaan berkurangan) berlaku, maka eksport terjejas sedikit.

“Selain itu, isu dan cabaran seperti ketegangan geopolitik, dasar perlindungan perdagangan oleh negara pengimport, persepsi negatif serta persaingan dengan negara-negara pengeksport produk kayu di dunia turut menjejaskan eksport tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC 2023) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini, hari ini.

Seramai 36 orang warga MITB menerima APC 2023 sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah membantu dalam memastikan industri perkayuan Malaysia terus kekal di arus perdana.

Pada majlis sama, Johari turut melancarkan Polisi Keselamatan Siber (PKS) MTIB bagi menggantikan Dasar Keselamatan ICT (DKICT) yang telah digunakan sejak tahun 2007. 

Polisi itu menyenaraikan peraturan dan menerangkan peranan semua pihak yang terbabit selaras keperluan pengurusan keselamatan maklumat di ruang siber yang luas serta risiko dan ancaman yang semakin meningkat.

Mengulas mengenai polisi itu, Johari berkata, ia berperanan sebagai langkah keselamatan untuk memastikan pengurusan keselamatan siber yang cekap. 

Beliau berkata, keselamatan siber amat penting kerana setiap agensi kementeriannya termasuk MTIB mempunyai pangkalan data yang sangat komprehensif untuk menentukan kita punya ses, duti, cukai dan sebagainya.

“Jadi jika kita tidak ada keselamatan siber yang kuat, ia akan boleh merosakkan perjalanan mana-mana syarikat atau agensi apabila data digodam.

“Sekarang ini penggodam di dalam dunia bukan hanya menggodam bank .. mungkin bank sukar digodam godam mereka banyak berbelanja untuk mendapatkan ‘firewall’ yang mahal, menjadikannya sukar dan sangat kompleks untuk digodam.

“Maka sekarang mereka pergi kepada syarikat-syarikat. Jadi, syarikat-syarikat perlu berhati-hati kerana agensi seperti MTIB, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM) perlu pastikan bahawa keselamatan siber mereka berada pada tahap tertinggi. Ini kerana apabila data hilang (kerana digodam), ia akan merosakkan perjalanan agensi berkenaan,” katanya.-BH Online