Sorting by

×

Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedia meneliti keperluan untuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP) bagi persembahan formasi penerbangan raptai lintas hormat susulan insiden pelanggaran udara membabitkan dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak, Selasa lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi mengelak insiden sama berulang pada masa akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata, keperluan bagi meneliti semula SOP persembahan itu akan ditentukan selepas pihaknya menerima laporan penuh siasatan nahas dari lembaga siasatan.

“Kita akan ambil pengajaran (daripada insiden ini) dan tunggu laporan siasatan. Dari situ kita akan melakukan perkara-perkara yang wajar untuk dilakukan,” katanya pada sidang media selepas hadir majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Wisma Perwira MINDEF hari ini. 

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan lembaga siasatan yang ditubuhkan TLDM akan memanggil semua pihak berpotensi termasuk syarikat pembekal helikopter bagi melengkapkan siasatannya. 

“Jawatankuasa (lembaga siasatan) dibentuk dan mereka akan melihat, akan tentukan siapa yang akan (dipanggil untuk) membantu (siasatan). Kita mesti nak tahu sejelas-jelasnya apa yang berlaku.

“Apa saja yang mahu dibantu (pihak yang akan bantu) tiada apa yang mahu diketepikan dan disorokkan,” katanya.

Dalam kejadian 9.32 pagi Selasa lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM maut dalam tragedi dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Terbuka TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan itu, ATM dan TLDM menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter berkenaan terhempas.

Mohammad Khaled yang ditemui media Selasa lalu memberitahu, lembaga terbabit akan dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden itu.-BH Online