Sorting by

×

Pengamal media di negara ini disarankan memperbanyak penghasilan kandungan berkaitan kesedaran terhadap impak berita palsu serta amalan hidup bersederhana dalam kalangan pelbagai bangsa di Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pemain industri juga perlu memastikan kandungan itu sampai kepada golongan sasaran yang merentasi kaum, agama dan wilayah.

Beliau berkata berita palsu ialah perkara kritikal yang membelenggu semua kerajaan di seluruh dunia dan kejayaan atau kegagalan sesebuah negara menangani isu berita palsu akan menjadi penentu kepada kualiti hidup rakyat sama ada aman sentosa atau menjadi porak-peranda.

“Jadi, kita banyakkan kandungan yang didik, pupuk sifat tabayyun (perkataan arab yang bermaksud menyemak asas kebenaran) kerana dalam berita palsu ini juga ada masalah scammer, penipuan dalam talian, wang simpanan rakyat hilang ratusan juta (ringgit) setiap tahun.

“PSA (pesanan khidmat masyarakat) ini, sebarkan dalam semua platform dan pelbagai format kandungan supaya komuniti faham scammer punya liuk-lentok, jangan mudah terpedaya, harus ada rasa was-was,” katanya dalam program bual bicara Naratif Khas: 78 tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Tetap Unggul yang disiarkan menerusi TV1 malam ini.

Fahmi turut memberi saranan agar media menghasilkan kandungan yang membawa mesej wasatiyyah, iaitu pendekatan bersederhana dalam konteks hidup bermasyarakat di Malaysia.

“Prinsip asas pembentukan Malaysia ialah wasatiyyah, sekarang dalam bulan Ramadan pun kita diuji isu-isu yang boleh sebabkan pergeseran seperti isu stoking tertera kalimah Allah, jadi prinsip ini penting untuk hidup dalam komuniti pelbagai dengan terasnya agama Islam dan Melayu, kena faham adab, batas dan toleransi budaya.

“Ia termasuklah tidak boleh kita mengambil tindakan (terhadap sesuatu isu) di luar jalur hukum, jadi saya kira dua ini, berita palsu dan kesederhanaan dalam bermasyarakat, ialah dua kandungan yang perlu lebih banyak dihasilkan media,” katanya.

Menurut Fahmi, media juga terutamanya RTM perlu lebih agresif dalam menyebarluaskan pencapaian dan inisiatif kerajaan bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa.

“Bukan setakat membina naratif, media boleh ketengahkan usaha-usaha kerajaan seperti inisiatif ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dasar gaji progresif dan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam termasuk kejayaan kita dalam sektor semikonduktor,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pemain industri juga perlu sentiasa bergerak seiring peredaran zaman termasuk berjinak-jinak dengan penggunaan teknologi terkini dan menguasai kepakaran baharu dalam sektor telekomunikasi.

“Teknologi akan dapat bantu kita (buat) analisis mendalam, program apa disukai, kandungan apa diminati masyarakat, dari situ akan bantu kita dapatkan idea baharu untuk hasilkan kandungan berkonsep suai manfaat kepada masyarakat, khusus kepada golongan sasaran,” katanya.– BERNAMA