Sorting by

×

Kerajaan komited dalam memastikan prestasi nilai ringgit di tahap yang lebih baik dan mengukuh, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, ini termasuk usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sentiasa memastikan pasaran pertukaran asing dalam negara kekal teratur dan stabil, terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah perlu, termasuk intervensi dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

“BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain terus menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian eksport supaya kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) dapat dikurangkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 di Dewan Negara, hari ini. 

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata, Kementerian Kewangan dan BNM juga telah mengambil tindakan bersepadu dan diselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing.

“Ini termasuk mengalakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membawa balik pulangan pendapatan pelaburan asing dan menukar pendapatan berkenaan kepada ringgit dengan lebih konsisten,” katanya.

Malah, beliau berkata impak yang positif ke atas ringgit juga dapat dilihat hasil daripada langkah-langkah yang dijalankan. 

“Jawatankuasa Pasaran Kewangan BNM pada 1 Mac, 2024 telah menyatakan kesan serta-merta terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran terhadap ringgit.

“Jika dilihat, prestasi mata wang ringgit berbanding sembilan negara serantau lain telah bertambah baik iaitu pada kedudukan kedua sejak langkah-langkah koordinasi antara kerajaan, BNM, GLC dan GLIC dilaksanakan,” katanya.

Amir Hamzah berkata seiring dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 yang lebih kukuh pada julat 4.0 hingga 5.0 peratus, penganalisis menganggarkan bahawa nilai ringgit akan pulih berbanding dolar AS dalam lingkungan RM4.50 menjelang separuh kedua tahun ini. – BERNAMA